Kerjasama Politik PAS, BN Dan PPBM Sedia Hadapi PRU15


Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menegaskan bahawa kerjasama politik terutamanya bersama Barisan Nasional (BN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) semakin mantap sekaligus berjaya memperkukuhkan lagi kedudukan Kerajaan Perikatan Nasional yang menjadi ‘kerajaan hari ini (government of the day).


Tanpa menghiraukan segala spekulasi pihak Pembangkang yang hanya berupa perang psikologi semata-mata, PAS akan terus sama-sama komited mendukung dan mempertahankan kedudukan Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan YAB Tan Sri Muhyiddin Mohd Yasin bersama barisan kabinetnya yang terdiri dari semua Parti-parti anggota.

2. Adalah suatu fakta yang jelas bahawa kerjasama politik antara PAS dengan BN, khususnya UMNO, telah dimuktamadkan melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman pada 14 September 2019 sekaligus membentuk Muafakat Nasional (MN).

Manakala kerjasama sehingga terbentuknya Kerajaan Persekutuan ekoran kejatuhan Pakatan Harapan (PH) pada 29 Februari 2020, diikuti pemeteraian Memorandum Persefahaman oleh Pengerusi-Pengerusi dan Presiden-Presiden BN, PPBM, PAS dan parti-parti dari Sabah dan Sarawak secara rasminya telah membentuk Perikatan Nasional (PN).

3. PAS yakin parti-parti yang membentuk PN telah bersedia untuk memacu tenaga dan jentera bagi melengkapkan persiapan dan kesiapsiagaan barisan bersama termasuk memuktamadkan pembahagian kerusi bagi menghadapi PRU 15 meskipun tarikhnya belum diputuskan.

4. PAS juga amat yakin kerjasama dan sikap bertoleransi semua anggota PN kini akan menguatkan lagi kedudukan Kerajaan PN sama ada di peringkat Persekutuan mahupun Negeri-Negeri sehingga ke akhir penggal.

Terima kasih.

TAKIYUDDIN HAJI HASSAN
Setiausaha Agung PAS.
Bertarikh: 07 Jun 2020

Ulasan