Oleh : Azizah Mahmood
Sepertimana kebiasaan, Kelab Aktivis Media Inspirasi (KAMI) menyantuni pengundi setiap kali berlakunya Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi mendapatkan respon, pandangan dan pendapat rakyat, memilih wakil rakyat yang baru.
Tawaran dan janji parti, misi calon yang bertanding adalah perkara yang sinonim, begitu juga dengan apa yang sedang berlaku di PRK N23 DUN Chini yang akan diadakan pada 4hb Julai nanti.
Dari tinjauan KAMI, tidak ada masalah besar calon Muafakat Nasional (MN), perpakatan yang diterajui oleh PAS dan UMNO, mendahalui dua lagi pesaing mereka daripada parti bebas dalam memenangi hati pengundi.
Pilihan raya pertama selepas Perintah Kawalan (Pergerakan) menyaksikan amalan norma baharu yang telah ditetapkan oleh Kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19.
Di Felda Chini 2, Mohd Sharim Md Zain dilaporkan telah mengadakan program kempen mensasarkan pengundi berstatus Ibu Tunggal (IT) dengan menawarkan pelbagai bantuan.
Generasi pertama yang telah kehilangan suami, merupakan peneroka awal tanah Felda ini antara yang telah disantuni.
Mereka di jemput mendengar taklimat dan kehadiran mereka diraikan dengan sehelai hadiah kain batik.
Inilah norma lama yang masih kekal dalam suasana kempen yang menggalakkan orang ramai mematuhi SOP, semua norma baharu yang dikeluarkan oleh MKN dan KKM.
Konsep, ada ubi, ada batas, ada budi ada balas, menjadi senjata kepada mana-mana parti yang bertanding yang telah menjadi ‘budaya pilihan raya’.
Bidalan orang muda-muda ada menyebut, termakan budi tergadai ‘body’ menjadikan lebih separuh peneroka Felda tidak akan lupa kepada jasa Tun Razak.
Gula-gula berskala besar menjelang hari mengundi juga sedang beredar, sebagaimana dalam mana-mana PRK sebelum ini.
Mungkin kerana selepas lama terkurung dek PKP, akhirnya banyak projek pembinaan yang tergendala perlu disiapkan segera, sehingga kerja penambahbaikan simpang masuk ke gugusan Felda itu dilaksanakan 24 jam! Hebat kan?
Namun, KAMI melihat generasi kedua dan ketiga Felda sudah mula memainkan peranan mereka sebagai anak muda yang berani dan cerdik.
Mereka sudah tahu dan sedang mengamalkan norma baru ‘Politik Matang Dan Sejahtera’ dalam bersiyasi.
Mereka telah berani bersuara dan menyampaikan mesej kepada sesiapan pun demi hak mereka sebagai pengundi.
“Kemenangan BN perlu dikekalkan di PRK ini untuk penambahbaikan dan meneruskan perlaksanaan yang telah dirancang kerana masa lima tahun yang lepas telah menjadikan orang muda makin ramai, kemana mereka ini jika tiada bantuan dari kerajaan untuk membina masa depan, contohnya saya sendiri.
“Saya mahu bekerja di gugusan Chini, peluang bagi kami anak peneroka perlu ada, agar tidak perlulah kami keluar jauh mencari rezeki dan meninggalkan emak atau ayah seorang diri yang telah dimamah usia,” ujar seorang anak muda yang membahasakan dirinya sebagai Uda, yang tidak mampu keluar jauh kerana baginya ibu adalah segala gala.
Dia dibelenggu antara tanggungjawab dan masa depan.
“Sediakan kilang, atau bidang kemahiran atau pun boleh menarik pelabur syarikat besar untuk membuka cawangan di Chini yang duduk di antara bandar besar Kuantan Dan Segamat.
“Segamat yang tak besar manapun boleh begitu pesat membangun, kenapa gugusan Chini tidak boleh?,” soal beliau penuh semangat.
Anak muda, generasi Felda atau bukan, adalah golongan yang akan mencorakkan masa depan negara.
Uda tidak sanggup hanya sekadar menumpang rezeki orang tua yang kebun sawit mereka pun kebanyakannya sudah diserah pada pengurusan Felda.
Justeru, kata beliau, bantulah generasi Tanah Rancangan Felda membina hidup lebih baik dengan menyediakan peluang yang seadil dan secukupnya.
Kemahiran untuk belajar supaya mampu bersaing, adalah sangat diharapkan, walaupun ada diantara mereka tidak berpelajaran tinggi.
“Banyak sangat kemahiran yang boleh diajar tetapi tidak dibawa di Chini, jadi selepas ini biarlah kami mampu belajar menjana ekonomi dengan kemahiran yang di beri." Tambahnya
Bagi KAMI, suara ini adalah isyarat kelompok muda Melayu teramai dibawah amanah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan dengan harapan ‘bermula semula’ (re-start) dalam pilihan raya pasca Covid-19.
Biarlah norma baru terbentuk seiring dengan janji yang ditabur, dan jangan dibiarkan ‘Janji Tinggal Janji’ dan Felda terus menjadi sebagai program DEB yang benar-benar mencipta kejayaan.
Ulasan