RM300, 000 Diperlukan Untuk Bangunan PASTI Dungun


DUNGUN – Sebanyak RM 300, 000 diperlukan untuk menyiapkan sebuah bangunan yang akan memantapkan lagi pengurusan dan memudahkan gerak kerja Jabatan Pusat Asuhan Tunas Islam(PASTI) Kawasan Dungun.

Ketua Pemuda PAS Kawasan tersebut, Ustaz Fadhli Rahmi Zulkifli berkata memandangkan sambutan ibubapa terhadap institusi pendidikan pra-sekolah PAS itu meningkat saban tahun, sudah sewajarnya memiliki bangunan sendiri untuk memudahkan urusan guru dan ibu bapa sekaligus meningkatkan produktiviti dan kualiti pendidikan anak anak yang belajar di PASTI.
“Kini terdapat 2200 orang pelajar berdaftar di 35 buah PASTI di seluruh Kawasan Dungun dan terima kasih ibu bapa yang memberi kepercayaan kepada Jabatan PASTI untuk mendidik anak-anak mereka terutamanya dalam melahirkan generasi pelajar yang soleh dan pintar,” ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas ditemui wakil Buletin Online seusai Majlis Menyempurnakan Gimik Pembinaan Bangunan PASTI Kawasan Dungun di sini pada 1 Jun yang lalu.
Menurut Ustaz Fadhli lagi, fasa pertama bangunan dua tingkat yang menempatkan pejabat, bilik mesyuarat, musolla dan dewan itu, sebanyak 40 peratus telah disiapkan hasil sumbangan Jawatankuasa Parlimen, PAS Kawasan dan orang ramai.
“Kita amat memerlukan sumbangan orang untuk menyiapkan fasa seterusnya agar ianya dapat beroperasi pada 1 Januari 2021” tambahnya lagi.
Sementara itu Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Kawasan, Cikgu Alias Harun berharap dengan siapnya bangunan yang terletak di atas sebidang tanah di Kampung Kubang Miang itu akan dapat dimanfaatkan dengan mengadakan pelbagai program untuk meningkatkan lagi mutu pendidikan PASTI kawasan itu
“Selain itu supaya hasrat tuan tanah yang mewakafkannya untuk perjuangan parti dan kita amat menghargai sumbangan ini,” katanya.
Beliau menyeru agar orang ramai saling membantu untuk menyiapkan bangunan dua tingkat ini, sumbangan boleh disalurkan ke Dana Pembangunan Pendidikan PASTI Dungun, nombor akaun, Maybank 563091023335.

Ulasan