Rumah Terbakar Tengah Malam


Oleh: Jusmawari Jusoh

BESUT – Kejadian malang yang menimpa Khairul Azahar Muhammad sekeluarga dalam kebakaran yang berlaku tengah malam pada 30 Mei mendapat perhatian Dewan Pemuda PAS Kawasan Besut (DPPKB).

Ketuanya, Hakim Zulfikri Awang berkata, pemuda terpanggil untuk memberi sedikit sumbangan kepada keluarga Khairul bagi meringankan beban yang ditanggung kerana ujian Allah ke atas diri beliau.

“Pemuda rasa simpati terhadap kesusahan yang dialami oleh sekeluarga yang tinggal sehelai sepinggang kerana rumah mereka hangus terbakar.

“Kepada pihak yang prihatin yang ingin menyumbang bolehlah berbuat demikian melalui akaun BIMB 13035010000053 atas nama Dewan Pemuda PAS Kawasan Besut atau sebarang pertanyaan boleh hubungi Pengerusi Lajnah Kebajikan DPPKB, Hafiz Yusof, 013-9318269,” jelasnya.


Beliau berkata demikian ketika diminta untuk memberi komen kunjungan pemuda menziarahi keluarga Khairul selepas kejadian kebakaran itu.

Sehubungan itu, Khairul Azahar yang bekerja sebagai jurukimpal ketika ditemui berkata, keseluruhan rumahnya musnah dalam musibah tersebut.

"Lebih kurang pukul 12 lebih,adik iparnya mengejutkan beliau sebab terlihat asap dari ruang tamu.

"Bila saya bangun tengok asap penuh dalam rumah. Saya berlari  kearah dapur yang sedang marak dan terus mengejutkan isteri serta anak-anaknya keluar dari rumah yang sedang hangus terbakar,” ujar beliau.



Ulasan