Oleh: Mohd Asraf
DUNGUN - Hospital Dungun perlu disiapkan dengan kadar segera kerana ia sudah lama dalam pembinaan.
Pengerusi Majlis Tindakan DUN (MTD) Sura, Wan Hapandi Nik berkata, proses pembinaan hospital ini bermula tahun 2016 dan tarikh siap asal adalah 22 Februari 2019.
“Pihak berkenaan perlu mempercepatkan pembinaan, kerana dari apa yang saya lihat, projek ini bermula empat tahun lalu tetapi sehingga hari ini masih tidak siap-siap,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Dungun berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke tapak hospital untuk meninjau perkembangan projek berkenaan di sini pada 17 Jun.
Menurut Wan Hapandi, beliau difahamkan, hospital baharu ini akan dilengkapi dengan kapasiti 110 katil dan 10 kepakaran disediakan antaranya kecemasan, perubatan, pediatrik, obsterik dan ginekologi, anestesiologi, ortopedik, psikiatrik, pergigian dan patalogi.
“Jika hospital ini siap sepenuhnya, ia akan membantu mengurangkan kesesakan dan waktu menunggu bagi para pesakit yang sedang menunggu giliran untuk bertemu pakar,” tambah beliau.
Mengulas lanjut, beliau berkata memandangkan hospital ini masih belum siap dibina, pesakit yang ingin mendapatkan rawatan susulan atau pembedahan perlu ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) atau Hospital Kemaman.
Ulasan