Kualiti Pemberitaan Al-Jazeera Amat Rendah.


Menonton dokumentari al-Jazeera yang berjudul 'Locked up in Malaysia's Lockdown' dalam segmen '101 East' jelas menunjukkan sumber berita mereka yang bernama Rayhan Kabir itu sebenarnya terang-terangan menipu.

Semua orang tahu yang tiada negara yang akan membenarkan mana-mana individu yang bukan warga negara memasuki sesebuah negara tanpa dokumen, kecuali keadaan perang atau darurat. Atas dasar kemanusiaan dan agama, kerajaan akan melonggarkannya.

Dalam dokumentari itu, ada satu babak perbincangan Raihan dengan peguam hak asasi manusia, Sumitha Santini Krishna dan jelas ditanya oleh peguam, mengapa tidak diadukan kepada pejabat buruh atau pihak berkuasa. Dia hanya menjawab, rakan-rakannya tidak tahu.

Sekaligus menjelaskan kebodohan diri mereka kerana dia mendakwa visa rakannya sudah tamat setahun yang lalu dan tidak mahu disambung oleh majikan. Ertinya mereka masuk secara sah, jadi paling kurang mengapa mereka tidak mahu ke kedutaan Bangladesh, tidak perlu takut apa-apa.

Keduanya, dia yang kononnya banyak tahu dan menjadi pejuang kepada rakan-rakannya, mengapa tidak membantu mereka ke pejabat buruh bagi menyelesaikan masalah itu? Atau adakah sebenarnya rakan-rakannya itu masuk secara haram ke negara Malaysia? Jadi alasan kerana rakannya tidak tahu dan gagal ke kedutaan itu, jelas satu pembohongan yang nyata.

Kemudiannya, tidak puas berbohong, dia tokok tambah lagi penipuan yang lain iaitu dengan mendakwa kesalahan rakan-rakannya itu 'hanyalah' kerana tiada dokumen yang sah.  Dia lupa bagaimana Bangladesh menghalau Rohingya, saudara seagama mereka, jiran negara mereka dengan penuh kehinaan, kerana tiada dokumen.

Jika tiada dokumen itu bukan kesalahan, mengapa Bangladesh menghambat pulang Rohingya itu? Sekurang-kurangnya Malaysia masih bersifat manusia dengan menerima pelarian ini atas dasar agama dan kemanusiaan. Bahkan sebelum ini, rakyat Vietnam dan Kemboja juga diraikan Malaysia, walaupun sebahagian besar Vietnam itu beragama Buddha.

Dia mempercayai pembohongannya itu diterima penonton dengan mendakwa rakan-rakannya yang berada di dalam pusat tahanan itu tidak diberi makan oleh kerajaan. Sedangkan jangan dikata kawan, ahli keluarga juga tidak dibenarkan berjumpa seseorang itu jika dia positif Covid-19. Apa istimewa dia?

Hal itu juga disahkan oleh peguam itu yang semua pusat tahanan tidak dibenarkan menerima pelawat walaupun peguam seperti beliau. Sehingga kini, tiada laporan mengesahkan tahanan PATI di mana-mana depoh imigresen di Malaysia, mati tidak diberi makan. Dan melucukan pada awal temuramahnya, dia mengakui kerajaan menyediakan bantuan makanan dan perubatan, walaupun dia mendakwa kerajaan melayan mereka seperti binatang.

Apa yang al-Jazeera lupa untuk memasukkan dalam laporannya ialah bagaimana pasukan keselamatan Malaysia dilempar bungkusan air kencing kerana kawasan yang majoriti PATI tinggal, di tutup sepenuhnya. Bahkan, terdapat banyak perkampungan yang majotiti penduduknya warga tempatan dikepung kerana mahu menghalang jangkitan.

Semua manusia di situ termasuk juga haiwan, diberi bekalan makanan oleh kerajaan Malaysia. Malah ramai keluarga Bangladesh dan Rohingya, dikesan cuba menipu dalam mengambil bekalan, mahu mendapat lebih bahagian mereka.

YDPA, Permaisuri baginda dan juga YAB PM, turut menjalani kuarantin kerana disyaki dijangkiti. Itulah disiplin tertinggi oleh orang Malaysia, bagi melawan Covid-19.

Al-Jazeera juga gagal memberitahu dunia bahawa Dr Noor Hisham telah dinobatkan sebagai antara tiga doktor terbaik dunia dalam menangani Covid-19. Mereka juga sepertinya tidak mahu memasukkan info-info lain seperti trend menurun kes, yang menghampiri kosong.

Adakah mereka dibayar? Jika benar, amat rendah harga atau nilai mereka kerana plot cerita itu langsung tidak dipercayai orang yang waras. Apa lagi berkaitan dengan isu kebenaran masuk ke negara tanpa dokumen yang sah. Paling kurang, buatlah cerita yang lebih berkualiti kalau ya nak menipu pun.

Namun bagi saya, saya tidak menghukum semua rakyat Bangladesh di Malaysia berperangai sama seperti Rayhan itu. Ini hanyalah sebilangan kecil. Masih ramai yang tidak menipu dan baik budi. Juga kepada al-Jazeera, bukan semua berita mereka sampah. Tapi untuk isu ini, ia amatlah tidak berguna untuk disiarkan.

Mohd Nasir Abdullah
6 Julai 2020

Ulasan