Rumah Urut ; Siasat, Dakwa Tukang Fitnah



Oleh : Izzat Al-Qushairi

KUALA TERENGGANU – Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) mahu tukang fitnah mendakwa kerajaan negeri membenarkan premis rumah urut berunsur maksiat beroperasi dikenakan tindakan.


Ketua Pemuda DPPNT, Ustaz Nasir Abdul Razak berkata, pihaknya telah membuat laporan polis mengenai tuduhan daripada Pemuda Parti Amanah Negara (PAN) Terengganu dan Kelantan hari ini.

“Tindakan mereka ini yang menimbulkan persepsi menggugat kepercayaan rakyat, tuduhan mereka tanpa disertakan sebarang bukti kukuh jelas berniat jahat.

“Kami mahu mereka dikenakan tindakan supaya menjadi pengajaran kepada semua dan perkara ini tidak terus berulang dalam kalangan masyarakat,” jelasnya kepada pemberita selepas melakukan laporan polis di IPK Kuala Terengganu di sini, semalam.

Baru-baru ini, Ketua Pemuda PAN Terengganu dan Kelantan dalam satu klip video mendakwa, rumah urut tidak bermoral telah wujud dan dibenarkan beroperasi di negeri yang diperintah oleh PAS.

Dalam pada itu, Ustaz Nasir berkata, pihaknya turut membuat laporan polis berhubung kulit hadapan sebuah buku yang didakwa menghina Jata Negara.

Katanya, isu tersebut boleh menggugat ketenteraman awam dan menimbulkan suasana tidak harmoni dalam masyarakat

"Saya berharap Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan pihak polis menyiasat secara terperinci berhubung kes ini.

"Kita minta kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap pereka yang menghina lambang negara.

"Ia bukan soal agama dan bangsa, tapi soal tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia yang memandang serius terhadap isu ini," jelasnya.

Turut hadir bersama, SU DPPNT, Zaidan Abdullah, Ketua Penerangan DPPNT, Ustaz Harun Isa, Ketua Pemuda DPPKS Ustaz Mohd Shafizi Ismail dan Sauji Abd Rasid.

Ulasan