Orang Islam Itu Berkorban


اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ
Allah Maha Besar Allah Maha Besar Allah Maha Besar
لاَ إِلهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ
Tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Besar
اللهُ أَكْبَرُ وَللهِ الْحَمْدُ
Allah Maha Besar dan bagi Allah segala puji-pujian



Alhamdulillah, sama-samalah kita bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmatNya kita semua dipanjangkan umur untuk menyambut Hari Raya Aidiladha 1441H. Dalam keperitan diuji dengan wabak Covid19 yang belum berkesudahan kita masih lagi diberi ruang dan keizinan oleh Allah untuk berkumpul menunaikan Solat Sunat Aidiladha dan melaksanakan ibadah Korban.

Namun dalam keterbatasan pergerakan sehingga ada diantara kita tidak dapat melaksanakan Ibadah Haji. Janganlah kita lemah, ambil pengajaran dari kisah pengorbanan Rasulullah s.w.t dan 1400 orang Islam yang dihalang dari melakukan Ibadah Haji. Dari peristiwa ini lahirnya perjanjian Hudaibiyah  sehingga Umat Islam berkembang pesat sementara orang kafir pula semakin lemah.

وَمَن يُعَظِّمْ شَعَٰٓئِرَ ٱللَّهِ فَإِنَّهَا مِن تَقْوَى ٱلْقُلُوب
Dan siapa yang membesarkan syi'ar-syi'ar Allah, maka dia termasuk dikalangan orang yang mempunyai hati yang bertaqwa [al Hajj 32]

Tatkala menjelang Hari Raya Aidiladha Kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Isa amatlah dekat di hati. Kita lihat hikmah pengorbanan para nabi mentaati perintah Allah telah menjadi panduan dalam menjadikan Islam sebagai Ad Din (Cara Hidup). Tatkala kita berlumba-lumba dalam membuat kebaikan (فَاسْتَبِقُوا الْخَيْرَاتِ) jangan sesekali kita abaikan konsep keikhlasan kerana keikhlasan inilah menjadi panduan terima atau tidak korban anak Nabi Adam.

Mengambil kesempatan pada apa yang terjadi hari ini, suka saya kongsikan sedikat kisah sejarah pembuka kota Andalusia di Sepanyol. Tatkala pada masa itu Eropah masih lagi di zaman kegelapan, pembesarnya zalim, rakyatnya ditindas, agama pula tiada makna dan kebebasan. Allah telah membuka jalan pada Orang Islam untuk menegakkan syiar Islam dan mengembalikan keadilan di bawah pimpinan Thariq bin Ziyad melalui jalan laut suatu laluan yang tidak pernah dijangka oleh musuh ketika ini.

Tatkala menghadapi 100,000 orang tentera musuh, Thariq mengarahkan tentera Islam yang ketika itu seramai 12,000 orang membakar semua kapal mereka. Dirakamkan juga kata-kata Thariq ketika itu, “Di belakangmu itu lautan di hadapan mu itu musuh Allah, kita tidak akan kembali, sama ada kita akan syahid disini atau kita terus mara menegakkan syiar Allah”. Dalam lebih kurang dua tahun, Islam menerangai Andalusia dan sepanjang pemerintahan Islam, dunia barat berjaya keluar dari zaman kegelapan.

Hari ini orang Islam perlu sedar, bagaimana perpecahan dan ideologi selain Islam telah meruntuhkan kerajaan Islam yang pernah menguasai 2/3 dunia. Sejarah telah membuktikan, banyak negara yang pemimpinnya Islam berjaya memberi keadilan kepada semua lapisan masyarakat dan agama. Sejarah juga telah membuktikan banyak negara yang pemimpinnya bukan Islam, lapisan masyarakat dan agama ditindas tanpa belas kasihan. Bukanlah kerusi empuk, penyaman udara mahupun makanan mewah yang menjadi bukti kemenangan. Tapi taqwa atau istiqamah kita dalam perjuangan menjalankan amar makruf nahi munkar yang menjadi ukuran kelak.

إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ مِنَ اللَّهُ الْمُتَّقِينَ
Sesungguhnya Allah hanya menerima korban orang-orang yang bertaqwa.

Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha 1441H, sama-samalah kita meraikan hari kebesaran ini dengan penuh kesyukuran dan taatilah perintah serta SOP yang telah ditetapkan. Orang Islam itu tinggi disiplinnya. Moga kita semua memperolah kejayaan asbab dari amalan khususnya ibadah korban dan yang kita lakukan pada tahun ini.

31 Julai 2020
10 Zulhijjah 1441H

Yang benar,

YB Senator Dato’ Haji Husain bin  Awang
Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu
Ahli Dewan Negara

Perutusan Pesuruhjaya PAS Terengganu sempena Hari Raya Aidiladha 1441H*

Ulasan