PRU Wajar Diadakan Segera


Oleh : Adli Mohamad

Dungun - Pilihan raya Umum ke-15 wajar diadakan segera dalam keadaan Pakatan Harapan (PH) kian lemah dan bercelaru bagi memberikan kemenangan selesa kepada Muafakat Nasional .

Naib Yang DiPertua PAS Kawasan Dungun, Azman Shapawi berkata, mengikut kajian semasa tidak mustahil gabungan komponen parti Melayu PAS, UMNO dan Bersatu akan menguasai dua pertiga parlimen.

"Dengan masa yang sangat dekat sesuai untuk kita berada pada medan yang sangat besar. Mengikut kaedah demokrasi berparlimen, biasanya lima tahun sekali akan berlaku PRU.

"Tetapi PRU ke-15 tidak mengikut aturan-aturan biasa kerana berlaku konflik yang sangat meruncing di peringkat negara," ujarnya.

Beliau berkata demikian, ketika merasmikan Majlis Pelancaran Jentera Pilihanraya Pemuda PAS DUN Bukit Besi, di Surau Batu Sawar Kampung Lentang, pada Isnin, 24 Ogos.

Katanya, kerajaan yang dibentuk melalui Perikatan Nasional masih tidak matang dan mempunyai kekuatan yang kukuh.

"Berdasarkan beberapa kes pengundian di parlimen kita lebih daripada PH sekadar dua atau tiga undi sahaja dan kita kena sedar politik negara kita ini (berlaku) politik bisnes orang boleh menjual kerusi dan membeli  kerusi, letak (harga) 4 juta atau 10 juta orang sanggup lagi kalau di Sabah/Sarawak kadang-kadang berpuluh ribu sahaja.

"Maka dibimbangi akan ada ahli-ahli politik yang tidak berakidah, dia tidak mengira kepada perjuangan tetapi mementingkan perut semata-mata. Mungkin akan lari kepada pihak lain dan akan menumbangkan pemerintah dan perkara ini sangat disedari oleh kepimpinan, "jelas beliau.

Apa yang dikehendaki oleh rakyat, katanya, adalah kerajaan yang sangat kukuh untuk negara bukan lemah sehingga merugikan negara atas faktor ketidakstabilan politik.

"Untuk menjadikan kerajaan kita kuat kena ada PRU semula supaya kita boleh menang dengan selesa," tegasnya.

Turut hadir Pengarah Majlis Tindakan DUN Bukit Besi (MTD), Ghazali Sulaimam, Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Dungun, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli, Ketua Pemuda PAS DUN Bukit Besi, Mohd Ridhuan Yusoff.

Ulasan