Maka tujuannya hanyalah mahu melaga-lagakan ulamak. Paling penting ialah respon penyokong kedua-duanya mesti dipanaskan bagi tujuan menggembirakan syaitan, melihat orang Islam berbalah. Ingat lagi keberadaan Ustaz Azhar Idrus dalam program Himpunan Daei Ummah Nusantara Terengganu bersama Ustaz Abdul Somad pada Februari 2020 lalu? Program itu anjuran Kerajaan Negeri Terengganu. Gila apakah kerajaan menjemput Ustaz Azhar yang dikata tiada tauliah semenjak 2019 ke program itu?
Jelas Kerajaan Terengganu amat menghormati beliau. Setaraf dengan Ustaz Abdul Somad. Maka tidak timbul soal tidak mahu memberikan tauliah kepada beliau. Exco Agama, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah menjelaskan, Ustaz Azhar juga tidak memohon sebarang tauliah, sama ketika zaman BN dahulu. Jadi bila beliau tidak memohon, mengapa ada isu tidak diluluskan? Hanya bersandarkan berita yang tidak diketahui siapa pemiliknya, kita seorang yang beriman menjadi kecoh.
Pernah suatu ketika, saya berada di pejabat Exco Agama dan berkebetulan sewaktu itu, ada seorang imam masjid mahu berjumpa dengan Exco. Ketika itu Exco sibuk dan tidak boleh berjumpa, namun dia tetap masuk kedalam. Katanya dia mahukan Exco menyokong dia untuk kekal sebagai imam dan jurunikah. Walaupun telah dijelaskan, menjadi kesalahan seorang Exco membuat surat sokongan, dia tetap berkeras mahukan juga. Namun ia tidak dilayan Exco kerana menyalahi peraturan.
Jelas di sini, Exco Agama hanya layak menghantar permohonan-permohonan bagi mendapatkan tauliah, bukan menyokong apatah lagi meluluskannya. Maka cerita ini menjadi lebih panjang dengan mahu tidak mahu, terpaksa menyebut nama Maidam sebagai pihak yang meluluskan tauliah. Isu ini jelas berniat jahat kerana Maidam berada di bawah kuasa sultan. Ia cubaan mengaitkan pihak lain bagi melaga-lagakan lagi.
Tidak setakat itu sahaja, cerita ini menjadi semakin menarik lagi dengan satu isu lama yang ditimbulkan semula iaitu tangkap layar seorang pegawai yang membuat hantaran pesanan meminta sebahagian wang dari jumlah RM500 ribu dari kontraktor projek pasir di Terengganu. Disebutkan juga seorang Exco dan wakil rakyat terlibat, namun tiada nama Exco terbabit. Dan apabila dua serangan ini bergabung, maka jelaslah ia adalah bagi mengalihkan isu rasuah Lim Guan Eng yang baharu didakwa.
Cerita tentang apa yang dikatakan sebagai meminta komisyen projek pasir ini sebenarnya telah heboh sekitar bukan Oktober 2019 dahulu lagi. Saya turut menerimanya. Tetapi hairan, kenapa hampir setahun baru hendak heboh untuk dilaporkan kepada SPRM? Kenapa juga dicampakkan dahulu dalam media sosial sebelum mahu dibuktikan di mahkamah? Atau hanya berselindung disebalik sesuatu, melempar batu menyembunyikan tangan. ‘Test market’, mungkin?
Ingat kes saman pil kuda yang melibatkan Presiden dahulu? Dikatakan surat itu telah diserahkan kepada yang tiada siapa tahu atau kenal siapa penerimanya yang hampir mengakibatkan Presiden PAS mendapat malu. Rupanya ia adalah satu cara permainan mereka. Dan isu pasir ini pula, sangat berkebetulan dengan tarikh LGE didakwa kerana rasuah. Sungguh cantik tarikh kebetulan itu. Sedangkan pada tahun 2019, waktu mula-mula isu ini dihebohkan, PAS belum lagi berkuasa di pusat.
Ketika itulah sepatutnya isu meminta komisyen ini dibawa ke mahkamah. Sebab sekarang, jika SPRM dapati tiada kes meminta sogokan oleh Exco, takut ada orang akan kata mahkamah di bawah PN tidak adil. Bimbang terjadi macam kes DS Najib dan LGE. Adil bila hukuman kena kepada Najib, tetapi tidak adil pula untuk LGE didakwa, walaupun belum dihukum lagi.
Nanti kalau LGE dihukum tentu ada yang mengamuk. Maaf bukan DAP yang mengamuk, tetapi khadamnya. Atau sememangnya ketika zaman mereka memerintah, mereka yakin yang mahkamah juga tidak akan menerima tuduhan sebegini. Jadi sekurang-kurangnya tidaklah mereka akan berkata mahkamah tidak adil pada zaman mereka, kan?
Suatu ketika, seorang Exco Terengganu pernah memaklumkan kepada saya yang beliau baharu sahaja dihubungi oleh SPRM. Ia berkenaan dengan satu kenyataan yang disalahfaham yang mana beliau tidak pernah mengatakannya. Lantas pegawai SPRM itu dengan baik budinya menasihatkan kepada Exco itu, YB, pastikan YB tidak berkata begini, sebab ada kesan kepada perundangan. Jika salah cakap pun SPRM langsung menghubungi Exco, apatah lagi dengan kes yang betul-betul berlaku. Tidurkah SPRM?
Apapun, kita menunggu dengan sabar akan laporan rasmi oleh Ketua Pemuda Pan Bukit Bintang, Sheikh Kuzaifah Sheikh Abu Bakar. Beliau yang juga Pengarah Urusan KZ Management Advisory Sdn Bhd berjanji akan membuat laporan kepada SPRM minggu depan. Diharapkan agar SPRM segera menyiasat ‘bukti kukuh’ dalam aplikasi WhatsApp itu yang mana, sesiapapun boleh menyamar. Akan tetapi, jika salah ia tetap salah, PAS tidak melindungi pesalah.
Baru sahaja mereka tunjuk tangkap layar, sudah bagaikan didapati bersalah merasuah. Sedangkan bila LGE didakwa dengan bukti-bukti kukuh, LGE pula dikatakan dianiaya. Ahli PAS harus ingat, ada dua golongan yang sedang gila menyerang PAS. Satu dari PH dan satu lagi segelintir ahli Umno yang tidak mahu muafakat dengan PAS, mereka sedang bergabung. Jadi berhati-hati dengan sebarang berita dari mereka. Proses dahulu maklumat itu.
Sementara itu, ahli PAS diharap bertenang sahaja, tidak perlu menambah cerita perkara yang anda tidak ketahui. Samada dalam isu tauliah, mahupun isu komisyen pasir ini yang sudah heboh setahun lalu, tetapi baru mahu dikeluarkan kembali setelah LGE didakwa. Ingat, ada golongan yang mahu melagakan ulamak untuk menjatuhkan Islam, demi menaikkan si kafir yang kononnya amanah. Jangan kita jadi pembantu mereka.
Mohd Nasir Abdullah
10 Ogos 2020
Ulasan