KUALA NERUS - Ahli PAS terutamanya golongan muda perlu mendominasi media sosial bagi memenangi hati rakyat dengan fakta dan kebenaran dalam mendepani persaingan era baharu politik yang terbuka dan mencabar.
Pesuruhjaya PAS Terengganu, Senator Dato' Husain Awang berkata, ledakan teknologi maklumat menuntut Mujahid Siber bergerak seiring perkembangan semasa agar dapat menangani perbuatan musuh yang melakukan propaganda dan fitnah secara tersusun.
"Zaman dulu memang kita bergerak memberi penerangan melalui ceramah berkelompok, mega dan sebagainya, namun hari ini medan itu sudah tidak diminati kebanyakkan orang.
"Suasana sudah berubah, ceramah kurang diminati kerana orang ramai boleh ikuti isu melalui media-media, kecuali orang-orang tertentu yang minat ceramah," ujarnya semasa melancarkan Jentera Siber PAS Terengganu di Kompleks Tarbiyyah Darul At Taqwa di sini hari inI, Sabtu 5 September.
Jelasnya lagi, penguasaan media sosial oleh Pakatan Harapan telah menyebabkan Barisan Nasional tumbang dan PAS tidak mencapai sasaran di negeri-negeri pantai barat.
"Kita akan berhadapan dengan pilihan raya umum nanti, trend penggunaan media untuk menarik undi akan berterusan, Mujahid Siber berperanan membina kekuatan di peringkat PAS bagi mempengaruhi pemikiran anak muda.
"Ini ruang dan peluang yang paling terbuka untuk kita menyampaikan mesej kita dalam pemikiran rakyat, sama ada kita mampu mengubah atau tidak itu bergantung kepada kita," tegasnya.
Kata Husain lagi, peranan Mujahid Siber sangat besar dan luas di pelbagai peringkat.
"Peranan ini tidak boleh dimainkan oleh golongan veteran kerana tiada kepakaran seperti orang muda.
"Jadi, orang muda mesti sedia, berperanan di media, bangkit menjadi 'frontliners' media PAS menjelang pilihan raya umum akan datang.
"Jangan ikut rentak musuh, kita mengajak orang untuk ke jalan yang diredhai dengan cara menerang dalam menyerang, bukan menyeramg membuta tuli," tambah beliau.
Ulasan