Pada hari Isnin, 31 Ogos 2020 yang lalu, saya bersempatan mengikuti Muktamar Khas Kesatuan Ulama Sedunia yang diadakan secara atas talian melalui applikasi ZOOM, bertujuan untuk membincangkan isu terkini berkaitan Palestin iaitu normalisasi hubungan dua hala di antara UAE dan Israel yang dimeteraikan baru-baru ini.
Sidang atas talian Muktamar Khas Kesatuan Ulama Sedunia ini yang disertai oleh lebih 200 ulama dari seluruh Dunia Islam bersepakat mengutuk hubungan normalisasi ini sebagai satu pengkhianatan terhadap umat dan Dunia Islam.
Syeikh Dr. Ahmad Ar - Raysuni, Ketua Kesatuan Ulama Sedunia dalam ucapannya menekankan betapa pentingnya peranan ulama dalam menangkis kekeliruan isu-isu yang melanda umat Islam khususnya normalisasi hubungan dengan Israel sebagai satu pengkhianatan terhadap umat Islam.
Adapun Dr. Ali Qaradighi, Setiausaha Kesatuan Ulama Sedunia pula dalam ucapannya mengimbas kembali peranan ulama dalam mempertahankan bumi umat Islam sejak zaman berzaman khususnya peranan ulama bersama-sama dengan Sultan Salahuddin Al - Ayyubi sambil memetik sebahagian ucapan baginda setelah berjaya membebaskan Baitulmaqdis dari tangan tentera salib pada abad ke 10 masihi.
Perlu ditegaskan di sini, telah menjadi ijma’ ulama semasa mengharamkan umat Islam membuat hubungan damai dengan negara haram Israel.
Walaupun sudah jelas lagi bersuluh yang ianya adalah haram sama sekali namun dengan kemunculan pandangan-pandangan yang mengharuskannya maka perlu dijelaskan pandangan ulama serta dalil-dalil yang mengharamkannya untuk menjawab kekeliruan ini khususnya di tengah-tengah kehangatan normalisasi hubungan dengan Israel yang sedang dijaja oleh Amerika Syarikat pada hari ini.
Penubuhan negara Israel berdiri di atas perampasan bumi Palestin yang menjadi milik kepada umat Islam setelah ianya dibuka oleh Saidina Umar Al-Khattab pada tahun ke 16 Hijrah. Maka di atas dasar ini para ulama menegaskan adalah haram kepada umat Islam merestuinya.
Mengiktiraf negara haram Israel seolah-olah meredhai bumi umat Islam yang telah dirampas. Berpuluh-puluh pandangan ulama telah dikeluarkan mengharamkan umat Islam menyerah, membuat perjanjian damai dan merestui negara haram Israel.
Sebagai rekod seawal 1930 an lagi, iaitu sebelum penubuhan negara haram Israel lagi telah dikeluarkan fatwa ulama mengharamkan umat Islam menyerahkan bumi mereka kepada penjajah setelah mereka melihat perancangan Zionis dengan bantuan kuasa-kuasa penjajah Barat ketika itu khususnya British untuk merampas bumi Palestin dan diserahkan kepada orang Yahudi.
Fatwa ini dikeluarkan hasil persidangan ulama Palestin yang diadakan pada bulan Januari 1935 dengan ditandatangani antara lainnya oleh Syeikh Muhammad Amin Al-Husainy, Mufti Baitulmaqdis. Pada tahun 1956 pula Universiti Al-Azhar mengeluarkan fatwa yang sama yang maksudnya adalah sebagai satu penegasan lagi yang ditandatangani antara lain oleh Syeikh Mahmud Syaltut, bekas Presiden Universiti Al-Azhar.
Rentetan daripada itu, diadakan persidangan Antarabangsa Islam pada tahun 1989 yang dihadiri oleh ulama-ulama semasa mewakili 19 buah negara yang seterusnya mengeluarkan resolusi yang ditandatangani oleh para ulama antaranya Syeikh Muhammad Al-Ghazali, Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi, Syeikh Wahbah Az-Zuhaily, Syeikh Fathi Yakan, Syeikh Al-Khalili, Syeikh Abdullah Azzam dan lain-lain lagi.
Justeru boleh dirumuskan di sini adalah menjadi ijma’ ulama semasa, haram hukumnya mengiktiraf negara haram Israel berasaskan dalil-dalil umum ayat-ayat Al-Quraan yang mengharamkan orang-orang Islam merestui mereka yang memusuhi Allah, Rasul dan orang-orang beriman, dalam konteks ini negara haram Israel. Antara sandaran ayat-ayat Al-Quran tersebut ialah firman Allah pada ayat 22 Surah Al-Mujadalah dan ayat 1 Surah Al-Mumtahanah.
Adapun pandangan yang mengharuskannya yang dipetik dari Majlis Ifta’ UAE, antaranya dari Syeikh Abdullah bin Bayeh yang meletakkan ini adalah hak pemerintah untuk membuat keputusan mengikut maslahah yang difikirkannya.
Tidak jelas apakah sandaran atau dalil yang menyokongnya, namun jika diteliti barangkali ianya dipetik dari fatwa Almarhum Syeikh Abdul Aziz bin Bazz, mantan Mufti Arab Saudi yang mengharuskan pemerintah-pemerintah Islam untuk mengadakan hubungan damai dengan negara-negara dan pihak bukan Islam bersandarkan kepada dalil-dalil umum perjanjian damai antara Rasulullah SAW dan orang-orang Yahudi di sekitar Madinah.
Ianya dijawab oleh ulama sebagai pandangan yang berada dalam konteks berlainan. Perjanjian damai antara Rasulullah SAW dan orang-orang Yahudi dalam konteks mereka sebahagian daripada negara Islam yang ditegakkan oleh Rasulullah SAW di Madinah. Adapun negara haram Israel konteksnya mereka merampas bumi Palestin dan ditegakkan negara mereka di atasnya, maka tidak ada persamaan langsung di antara keduanya.
Bahkan pandangan Syeikh Abdul Aziz Bin Bazz sendiri mengikat syarat jika sekiranya negara Islam tidak berkemampuan untuk berdepan dengan negara-negara musuh maka dibolehkan untuk membuat perjanjian damai sebagai mengambil mudharat yang lebih kecil.
Syeikh Bin Bazz sendiri menegaskan jika sekiranya umat Islam mampu untuk berjihad bagi mempertahankan hak dan tanahair mereka maka adalah menjadi kewajipan untuk berjihad dan tidak boleh sama sekali bertolak ansur menyerahkan bumi umat Islam kepada musuh.
Duta Khas Perdana Menteri Malaysia ke Timur Tengah yang juga Presiden PAS, Tuan Guru Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang telah diberikan penghormatan menjadi speaker ketiga yang menyampaikan ucapan dalam sidang atas talian tersebut. Tuan Guru Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang secara jelas menyatakan betapa bahayanya gerakan Zionisme terhadap dunia terutamanya umat Islam dan kesan buruk daripada hubungan normalisasi dengan regim Israel.
Umum mengetahui bahawa zionisme adalah satu ideologi mahupun gerakan ekstream nasionalis bagi bangsa Yahudi. Zionisme adalah gerakan bagi bangsa Yahudi untuk menubuhkan tanah air mereka sendiri di bumi Palestin yang mereka percaya ia adalah tanah anugerah tuhan untuk mereka.
Gerakan Zionis moden dimulakan oleh Theodor Herzl, seorang wartawan yang berbangsa Austria – Hungry pada akhir kurun ke 19 yang digelar bapa politik modern Zionis mahupun bapa kepada negara Israel. Bermula dari tulisan beliau yang diterbitkan dalam bentuk risalah dan kemudiannya diterbitkan The Jewish Chronicle yang berjudul Der Judenstaad atau The Jewish State, gerakan Zionis mula berkembang dikalangan orang – orang Yahudi.
Der Judenstaad yang asalnya hendak diberikan kepada Baron Edmond de Rothschild dan keluarga Rothschild tentang persoalan dan idea bagi menangani sikap anti Yahudi di Eropah ketika itu dan Theodor Herzl menyatakan dalam tulisannya, perkara utama bagi menangani permasalahan tersebut ialah penubuhan sebuah negara bagi orang – orang Yahudi dan ianya adalah di Canaan atau Palestin.
Ketika di akhir kurun ke 19 di Eropah, kebencian terhadap orang – orang Yahudi mula merebak dan banyak di antara mereka mula dipinggirkan, dihalau malah dibunuh. Ramai di kalangan orang – orang Yahudi mula keluar dari Eropah untuk mencari perlindungan mahupun tempat tinggal baharu.
Sesuai dengan ideologi Zionisme yang mula dikembangkan oleh Theodor Herzl, maka berkembanglah ideologi Zionisme di kalangan orang – orang Yahudi di Eropah dan bermulalah penghijrahan orang – orang Yahudi di Eropah ke Palestin pada lewat kurun ke 19 di mana ketika itu di Palestin, tidak kurang dari 2000 orang Yahudi sahaja menetap di Palestin.
Penghijrahan orang – orang Yahudi dari Eropah semakin meningkat ketika perang dunia pertama dan mula memenuhi bumi Palestin. Kedatangan mereka yang seperti ingin mencari tempat berlindung mahupun berteduh sebenarnya mempunyai agenda tersembunyi iaitu untuk merampas bumi Palestin sesuai dengan agenda mahupun ideologi Zionisme.
Akhirnya bumi Palestin dirampas dan diisytiharkan Israel sebagai sebuah negara pada 14 Mei 1948. Ketika itu Palestin sudah mula hilang sedikit demi sedikit, ratusan ribu rakyat Palestin telah meninggalkan Palestin, ditangkap, dipenjara, dizalimi, dibunuh dan tanah mereka dirampas.
Kebaikan rakyat Palestin yang memberikan perlindungan mahupun tempat berteduh buat orang Yahudi ketika dalam kesusahan dibalas dengan tipudaya dan kekejaman dengan merampas tanah air rakyat Palestin. Sebagaimana yang tercatat dalam Al – Quran, orang Yahudi adalah bangsa yang tidak boleh dipercayai malah dilaknat oleh Allah SWT.
Maka adalah tidak masuk akal bagaimana umat mahupun Dunia Islam boleh mempercayai dan membuat perjanjian dengan Zionis Yahudi yang menjajah bumi Palestin. Apakah mereka ini tidak mempercayai kalimah Allah ataupun mempunyai kepentingan yang mendahului ummah atau agama mereka sendiri.
Zionis Yahudi selalu memainkan sentimen “ Holocaust “ atau “ Shoah “ yang mana diketengahkan kisah – kisah bagaimana orang – orang Yahudi diseksa dan dibunuh di Eropah samada ketika akhir kurun ke 19, ketika perang dunia pertama mahupun perang dunia kedua. Dikisahkan kepada dunia bagaimana jutaan orang Yahudi di bunuh, diseksa dan dipenjara di kem – kem seksaan di bawah taklukan Jerman.
“ Dipasarkan “ kepada dunia bahawa orang – orang Yahudi adalah bangsa yang teraniaya namun mereka lupa apa yang mereka lakukan kepada rakyat Palestin adalah lebih buruk dari Holocaust. Mereka lebih zalim dari Adolf Hitler dan Benito Mussolini, malah lebih teruk daripada raja – raja zalim ketika era feudal dahulu.
Jadi bagaimanakah ada negara mahupun umat Islam yang mahu berdamai dan mengadakan hubungan seolah – olah tidak ada apa – apa yang berlaku ? Jelas, ini adalah sikap pengkhianat yang perlu dijadikan iktibar oleh umat mahupun Dunia Islam.
Umat mahupun Dunia Islam harus bersatu bersama – sama memperjuangkan nasib rakyat Palestin seterusnya membebaskan bumi Palestin. Palestin adalah tonggak kesatuan mahupun penyatuan umat dan Dunia Islam.
Jika masalah Palestin dapat diselesaikan, bermakna umat dan Dunia Islam telah bersatu – padu. Selagimana isu Palestin masih tidak diselasaikan dan berlarutan, ia sebenarnya memaparkan perpecahan mahupun kelemahan dikalangan umat mahupun Dunia Islam.
Doakan yang terbaik untuk rakyat Palestin. Sama – sama kita usahakan mahupun lakukan yang terbaik untuk kemenangan umat dan Dunia Islam dalam membela nasib rakyat dan bumi Palestin.
Usah kita tergolong sebagai pengkhianat mahupun pembelot terhadap umat dan Dunia Islam kerana janji Allah SWT itu pasti.
Islam Memimpin Perpaduan.
YB Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.
ADUN Batu Buruk.
Ulasan