PRU15: Rakan Pakatan Berbeza Dan Cara Kerja Berubah


Oleh : Nooreni Abu Bakar 

DUNGUN - Pilihan Raya Umum ke-15 yang akan diadakan nanti menyaksikan rakan pakatan Parti Islam Se-Malaysia(PAS) berbeza dan menuntut cara kerja juga berubah.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad mengingatkan walaupun begitu matlamat perjuangan untuk memenangi PRU15 tetap sama.

"Kita dah buat ceramah mengharapkan ribuan datang, peluangnya tidak seperti dulu, dengan Tatacara Pengendalian Piawai (SOP)nya, orang tidak akan keluar untuk mendengar ceramah. 

" Maka hari ini, tuan-tuan, kita perlu menggunakan sepenuhnya media baru, untuk kita 'approach'(pendekatan), sampaikan mesej kita kepada seluruh pengundi," katanya. 

Kamaruzaman menyatakan demikian ketika berucap di Majlis Pelancaran Jentera PRU15 Dewan Undangan Negeri(DUN) Rantau Abang di Dewan Al-Husna, Darul Ansor, Kampung Alor Mak Bah di sini pada 4 September.

Turut menghadiri majlis tersebut ialah Pengerusi Majlis Tindakan DUN Rantau Abang, Alias Harun, Yang Dipertua PAS  Dungun, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli, Ketua Penerangan, Naraza Muda dan Pengarah Pilihan Raya, Wan Adib Wan Zain.

Katanya, data kajian yang dibuat oleh ahli akademik, kadar penembusan maklumat, 'information penetration' semasa PRU-13, 30 peratus adalah melalui media sosial atau media baru.

" PRU-14, kadar penembusan maklumat melalui media baru adalah 60 peratus meningkat sekali ganda.

" Kita jangkakan PRU-15, kadar penembusan maklumat melalui media baru adalah 90 peratus, " jelasnya.

Ini bermakna, tambahnya, pengundi  akan dapat maklumat daripada telefon  bimbit masing-masing.

Justeru, semua orang berpeluang dan  berpotensi untuk menjadi tentera barisan hadapan. 

" Kerana pertempuran kita hari ini, bukan lagi menggunakan kaedah fizikal, tetapi pertempuran kita hari ini menggunakan medan media baru," tegasnya.

Ulasan