Oleh :Nur Syazwana Mohd Zohir
KUALA TERENGGANU – Pelbagai kursus diadakan kepada para petugas media sosial parti PAS bagi memantapkan persiapan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 yang semakin hampir.
Ketua Unit IT dan Penerangan Ameerah Negeri Terengganu, Daing Siti Norbaity Abdul Latif berkata, mereka diberi pendedahan mengenai teknik pengurusan yang berkesan secara atas talian ataupun bersemuka.
"Pada masa yang sama situasi kes Covid-19 yang meruncing, lantaran menyebabkan semua program fizikal terpaksa ditangguhkan," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi pada semalam.
Menurutnya, Akademi Penerangan di bawah Jabatan Penerangan dan Media Baharu PAS Pusat bekerjasama dengan Ameerah Terengganu bagi memastikan lebih ramai jentera mendapat manfaat dari kursus tersebut.
"Inisiatif daripada Ameerah Terengganu ini bertujuan untuk membetulkan ‘mindset’ (corak fikir) semua ‘admin’ (pentadbir) tentang hala tuju media sosial parti.
"Di samping bagi memberi kefahaman tentang ‘content’ (pengisian) dan olahannya, selain berkongsi pengalaman serta kaedah pelaksanaan kerja media baru, " ujarnya.
Norbaity menambah, para pentadbir media sosial hendaklah membetulkan matlamat mereka melalui cara pembinaan pengisian yang kreatif dan menarik dalam medan masing-masing sekaligus mendekatkan rakyat kepada PAS.
Justeru itu beliau juga berharap supaya para pentadbir medan sosial terus belajar dan berusaha meningkatkan kemahiran diri sebagai pemegang taruh medan media sosial parti sekaligus sebagai ‘frontliner’ (barisan hadapan) kepada PAS.
Ulasan