Perjuangan Untuk Apa?


 Politik ni sangat fleksibel. Musuh boleh jadi kawan, kawan boleh jadi musuh. Rahsia boleh jadi pengumuman, pengumuman kadang-kadang boleh ditarik semula menjadi rahsia. Janji dahulu yang diberikan, adakalanya tidak dilaksanakan. Yang tiada dalam perjanjian pula, tidak kurang diberikan, walaupun tidak diminta. Kadang-kadang nama orang besar diguna untuk menguatkan diri, meskipun tidak pernah dipersetujui.

Bajet yang ada boleh dikerat, bajet yang tak cukup, boleh pula diadakan. Jawab kepada A begini, jawab kepada B begitu, tapi soalannya sama sahaja. Rancangan yang dibuat boleh berubah mengikut keadaan sebab lawan juga ada taktiknya. Yang berebut jawatan juga tidak sedikit. Yang mahu dikenali ikhlas juga sangat ramai hingga dia terpaksa menunjuk-nunjuk. Tidak buat kerja dikata orang, bila buat kerja mulut yang mengata tidaklah juga diam. Ada sahaja kecaman.

Ada juga yang menyamar masuk dalam pasukan lawan. Kadangkala sampai ke kedudukan yang tinggi dalam organisasi. Punyalah percaya lawan kepada dia. Lepas tu dia buat kacau. Penyamaran yang terbaik. Ada juga yang gagal menyamar, kena tendang keluar. Ada juga kemudian jatuh cinta dengan lawan. Semua ini atas nama strategi, samada menjadi atau tidak, salah guna atau tidak. 

Jika anda tidak masuk dalam politik secara keseluruhan, anda tidak akan faham situasi sebegini. Anda hidup dalam dunia anda yang jauh dari politik, tetapi anda mengulas berkenaan politik. Ulasan anda hanyalah marah-marah. Anda sendiri tidak tahu apa yang hendak dimarahkan. Yalah, anda duduk di permukaan tanpa tahu apa yang ada di bawah 'iceberg' itu.

Tapi, kalau anda tidak mencampuri politik, anda secara jelas hanya menunjukkan sikap tidak peduli anda kepada negara. Siapa pun yang memerintah, asal dapat duit, dapat makan, tidak diganggu, anda tidak kisah. Selamanya anda akan menjadi hamba walaupun rasa kaya. Penjajah memang sukakan sikap tidak peduli begini. Sedangkan kita kena memilih pemerintah yang kuat kerana ia antara sebab kestabilan negara menjadi teguh.

Melihat kepada situasi politik pada bila-bila masa, anda kan membuat keputusan yang salah jika anda hanya melihat kepada individu.  Benar individu akan membawa sedikit pengaruh, tetapi yang lebih utama ialah dasar parti itu sendiri dan ianya dikekalkan secara disiplin. Maka, dasar inilah yang akan mengekalkan momentum kumpulan itu. Individu akan mati, tapi dasar yang baik, akan terus kekal.

Terkadang dasar itu tidak diterima pada masa-masa yang lain. Waktu itulah pendekatan baharu diperlukan bagi membawa rakyat menyokong kembali mereka. Bagi PAS, pendekatan itu mestilah ada dalil yang disahkan oleh ulamak kerana dasar PAS adalah Islam. Walaupun ia tidak terlepas dari kritikan ahli sendiri yang tidak faham. Apa lagi dari musuh. Tetapi niatnya jelas, mahu membawa rakyat kepada Islam.

Disebalik perubahan cara yang PAS lakukan, parti-parti lain juga melakukan hal yang sama. Namun besar perbezaaannya. Pada kebanyakan keadaan, mereka melakukannya demi diri mereka sendiri, kemudian disokong oleh penyokong mereka yang juga mahukan sesuatu. Dasar perjuangan mereka diketepikan. Untuk agama, jauh sekali walaupun melaung-laungkannya tanpa henti.

Sebahagian pimpinan Umno ada rancangan menyokong Anwar, Anwar pula sekarang dilihat OK dengan Najib. Sebelum ini beliau dengan Tun. Ia bukan masalah memaafkan kesalahan peribadi tetapi isunya ialah serangannya dahulu tertumpu kepada kerosakan negara. Dan dialah yang kuat menentangnya. Apakah dia telah diberikan tauliah oleh rakyat menjadi wakil kemaafan? Tentu sekali tidak. Semua orang tahu baik mereka itu ibarat sistem 'barter'. Ada kehendak dan ada barang, jadi boleh bertukar.

Dan sekarang, mana dalilnya dalam Islam dengan perubahan ini? Atau ia hanya perjuangan peribadi dan dalil itu ada dalam diri sendiri, tidak boleh diberitahu? Alangkah baiknya jika semua kembali kepada Islam.

Mohd Nasir Abdullah
27 Oktober 2020

Ulasan