Perutusan Presiden PAS Sempena Maulidur Rasul


Firman Allah SWT:

﴿هُوَ ٱلَّذِىٓ أَرۡسَلَ رَسُولَهُۥ بِٱلۡهُدَىٰ وَدِينِ ٱلۡحَقِّ لِيُظۡهِرَهُۥ عَلَى ٱلدِّينِ كُلِّهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡمُشۡرِكُونَ٩﴾

“Dialah yang telah mengutus Rasul-Nya (Muhammad SAW) dengan membawa hidayat petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), supaya Dia memenangkannya dan meninggikannya atas segala agama yang lain (agama, ideologi, teori, dan apa-apa sahaja), walaupun orang-orang Musyrik tidak menyukainya.” (Surah al-Saff: 9)

Bersempena dengan bulan Rabi‘ul Awwal, menjadi kelaziman umat Islam menyambut peristiwa kelahiran Nabi Muhammad SAW. Kita menyambut kelahiran Baginda SAW dengan tujuan untuk menzahirkan rasa kasih sayang dan kerinduan kepada Rasulullah SAW serta pemangkin semangat bagi menyambung perjuangan Baginda SAW.

Dunia pada akhir zaman ini sangat berhajat kepada ajaran Rasulullah SAW iaitu Islam sebagai penyelamat setelah menyaksikan ideologi dan teori ciptaan manusia yang ternyata gagal membawa rahmat kepada sekalian alam.

Umat Islam sepatutnya bersatu padu dan memperkukuh kesatuan ini dengan bersungguh-sungguh berpegang kepada syariat Allah SWT dan menggenggam erat sunnah Rasulullah SAW. Umat Islam pasti akan bangkit sebagai umat yang beroleh kemenangan sebagaimana jaminan Allah SWT:

﴿وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَعَمِلُواْ ٱلصَّٰلِحَٰتِ لَيَسۡتَخۡلِفَنَّهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ كَمَا ٱسۡتَخۡلَفَ ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمۡ دِينَهُمُ ٱلَّذِي ٱرۡتَضَىٰ لَهُمۡ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّنۢ بَعۡدِ خَوۡفِهِمۡ أَمۡنٗاۚ يَعۡبُدُونَنِي لَا يُشۡرِكُونَ بِي شَيۡ‍ٔٗاۚ وَمَن كَفَرَ بَعۡدَ ذَٰلِكَ فَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡفَٰسِقُونَ٥٥﴾ 

“Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh daripada kalangan kalian (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: Khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhai-Nya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (daripada ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepada-Ku dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan-Ku. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.” (Surah al-Nur: 55)

Justeru itu, sempena dengan Sambutan Maulidur Rasul, marilah kita memahami erti sambutan kelahiran Nabi Muhammad SAW yang sebenar. Sekiranya sekadar menyambut hari lahir semata-mata, tetapi tidak mengikuti ajarannya, tidak beramal dengan syariatnya, tidak menegakkan Islam dan tidak menyambung perjuangan Baginda SAW, maka sambutan itu tidaklah membawa sebarang erti dan makna yang sebenar.

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS

Ulasan