Tok Guru Bumikan Kalam Ilahi


Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor.

 " Lama doh ambo ngajar di masjid Pulau Melaka,,royak arak ni haram,,judi ni haram,,riba ni haram,, tapi bila ada kuasa baru boleh sekat benda hok Tuhan larang" oceh Tuan Guru diawal pemerintahan PAS di Kelantan .30 tahun dahulu. Rakyat negara ini terpanar melihat satu demi satu perubahan dibuat oleh almarhum tanpa mempedulikan sinis dan ugutan manusia. Kelantan disekat dan dianaktirikan dalam tempoh yang panjang, menjadi bahan kutukan dimedia arus perdana ,namun Tuan Guru tega membuat reformasi dan akhirnya ditiru pula oleh kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri lain.

Tuan Guru Nik Aziz menimbulkan kejutan kepada pemain sistem bank konvensional apabila mengarahkan simpanan wang Kelantan dimasukkan kedalam Bank Islam sehingga bank-bank konvesional mewujudkan kaunter patuh Syariah. Almarhum menapis hiburan dan kesenian di Kelantan agar tak melencong daripada Syariat, segala syirik yang berangkai dengan elemen kesenian dan budaya dilarang. Mewujudkan Kelantan sebagai destinasi pelancongan yang patuh syariah dan membangunkan jajaran bandar-bandar baru.

Tokoh tanah Jawi ini yang namanya begitu besar pengaruhnya  melangkaui benua dan lautan. Penulis terkesima melihat laporan kematiannya di dada sebuah akhbar Algeria sewaktu berpeluang melawat tanah "sejuta syuhada" itu. Visual pemakaman almarhum dengan lautan manusia itu tersebar ke seluruh buana ini, diikuti kisah magis bagaimana lelaki renta ini menakluki hati manusia termasuk yang non muslim. Sesepuh perjuangan ini meninggalkan kita dengan seribu kenangan indah, dirinya menjadi kenangan kolektif kita semua, anak segala bangsa. Almarhum menunjukkan keteladanan bahawa Islam tidak anti masyarakat majmuk, Islam berinteraksi dengan kaum bukan Islam dengan nada keadilan, sebab itu masyarakat bukan Islam di Kelantan hidup harmoni dan berlaku asimilasi budaya yang cukup mapan. Kebolehan berbahasa Melayu orang bukan Melayu di Kelantan tak mampu ditandingi di negeri lain.

Nama Tuan Guru Nik Aziz mulai diratib oleh rakyat negara ini apabila menjadi Menteri Besar Kelantan selepas PAS menang besar bersama APU dalam pilihanraya Umum tahun 1990.

 Dengan penampilan sederhana alumni Deoband dan al Azhar ini mula mendapat sorotan lensa dan menjadi tajuk utama berita. Sosok ini menjadi fenomena politik dan dakwah tanahair, ribuan manusia menghadiri kuliah dan ceramahnya dimana sahaja beliau hadir. Paling menarik, kejayaan almarhum melintasi garisan politik kepartian, sosok dan aura sebagai negarawan mengiringi pelbagai ilmu yang beliau miliki. Kelantan dipinggirkan dan Tuan Guru sentiasa diremehkan ideanya oleh media arus perdana negara ini.

Tuan Guru Nik Aziz semenjak usia mudanya sehinggalah sebelum beliau di masukkan ke wad ICU berhempas-pulas berjuang untuk mewajahkan Islam yang sebenar kepada masyarakat negara ini yang telah jauh meninggalkan agama akibat penjajahan dan juga pengisian kemerdekaan oleh parti pemerintah yang tidak meletakkan Islam sebagai agama sistem hidup. Aku teringat kisah Tuan Guru tentang khurafat yang diamalkan oleh masyarakat agrarian di Kelantan, juga nelayan pinggir pantai yang mengamalkan " puja pantai " dan " bersemah" sehinggalah gerakan mengilmukan masyarakat dibuat oleh para asatizah yang pulang daripada belajar diluar negara. 

Kelantan yang terkenal dengan kepongahan masyarakat secara perlahan berubah melalui keseriusan Tuan Guru merakyatkan majlis ilmu. Penubuhan Unit Halaqah Dakwah dan pelbagai entiti lain untuk menggerakkan ilmu kepada ummah termasuk orang asal di Kelantan.  Slogan "Membangun Bersama Islam" telah diaplikasikan dengan serius di Kelantan, malah akhirnya menjadi panutan di negeri-negeri lain. Dalam dunia perjuangan Islam kontemporari,tidak ada sebuah parti Islam yang boleh memerintah lebih tiga dekad ,namun PAS membuktikan di Kelantan dengan wibawa dan tatakelola kerajaan yang baik oleh almarhum .

Tuan Guru seorang tokoh yang tidak berhenti untuk mendidik dan men’tarjih’ masyarakat untuk menjadi subur jiwa dengan haruman ketaqwaan. Beliau mendidik rakyatnya dengan solat, kelantan menghentikan perniagaan pasar malam seketika untuk memberi ruang solat kepada peniaga dan pengunjung. Manakala bulan Rejab, almarhum mengistiharkan sebagai kempen bulan solat. Rakyat digalakkan untuk solat berjemaah dan membina keluarga dengan ilmu, cukup marah almarhum kepada ketua keluarga yang tidak membentuk anak-anak dengan kefahaman Islam. Pasar-pasar di Kelantan diabadikan dengan nama -nama tokoh muslimah dizaman generasi al Quran, menunjukkan keprihatin almarhum kepada dedikasi wanita Kelantan yang berbudaya tinggi niaga.

Tuan Guru tak perlu gaya elegan untuk kelihatan bijak dan bergengsi menjadi pemimpin utama, semenjak dilantik sebagai MB selepas kemenangan PAS pada tahun 1990, beliau kekal mendiami rumah kampungnya yang serba sederhana yang dijirani dengan masjid dan Sekolah Agama Darul Anuar yang didirikan oleh Almarhum orang tuanya sendiri. Segak bergaya dengan lilitan serban, bersampin dan berbaju melayu dan beliau juga memulangkan elaun rumah sebanyak tiga ribu ringgit kepada perbendaharaan negeri.Tidak ada jurang di antara beliau dengan rakyat pelbagai peringkat, datanglah seusai subuh setiap hari Jumaat, Tuan Guru melayan tetamu yang datang dari seluruh negara. Rumah dan masjidnya menjadi produk pelancongan bagi negeri Kelantan, walaupun fizikalnya kelihatan sangat sederhana .

 Almarhum mewajahkan Kelantan sebagai negeri tadahan wahyu, antaranya mengadakan Kuliah Subuh pagi Jumaat di masjid Pulau Melaka dan seterusnya kuliah Dhuha di Dewan Zul sebelum lokasi beralih ke Medan Ilmu  Jalan Dato Pati. Kuliah medan ilmu ini mempunyai tarikan yang besar kepada anak-anak tempatan dan pelancong luar Kelantan. Hidupnya tidak dikelilingi oleh pengawal peribadi seperti pemimpin lain di Malaysia, tiada skuad motor atau ‘out rider’ mengiringi beliau ke hulu ke hilir sehingga menjadi tembok penghalang kepada rakyat.

Anak-anak Kelantan diperantauan tak melepaskan peluang menjadi duta Kelantan dinegeri lain, membawa bersama aroma kebaikan dan budaya menadah kitab .almarhum memberikan perhatian kepada anak Kelantan dimana sahaja mereka berada.Jika hari lebaran tiba, berkunjunglah ke Pulau Melaka dan santaplah apa yang ada sekadarnya.Tuan Guru tidak membazirkan duit rakyat untuk jamuan raya rumah MB, elaun keraian MB juga diserahkan kepada perbendaharaan negeri, bahkan gajinya dipotong sebanyak 45 peratus untuk rakyat dan parti yang didokongnya. Seperti kata seorang sahabat, bahawa sosok ini akan muncul sekali dalam seabad malah permata kepada PAS yang ingin menterjemahkan konsep ‘good governance’. Bayangan Umar Abdul Aziz memerintah (99H-101H) kini dan telah muncul di Kelantan.Tuan Guru mengingatkan kita kepada akhirat dalam arus pemodenan yang sarat dengan perlumbaan untuk meraih kemewahan.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz adalah sosok yang wajar diteladani oleh pemimpin-pemimpin gerakan Islam di negara ini dan luar negara. Teringat penulis akan kisah almarhum mencuci tandas masjid di alam hari untuk membuang sifat ego, memasukkan sifat qonaah dan zuhud dalam nurani beliau. Almarhum jika bermusafir dan diberikan bilik selesa namun hanya tidur diatas permaidani bilik bukan diatas katil demi menjaga solat tahajjud agar tak lena dikasur yang empuk. " walk the talk" itulah sifat murabbi yang ulung dan menjadikan Kelantan cerminan indah pada masyarakat luar Kelantan.

Beliau berjaya menunjukkan kepada rakyat negara ini dan juga dunia bagaimana untuk mengaplikasi ilmu-ilmu Islam yang dipelajarinya.  Beliau mempunyai kekuatan spiritual yang ampuh bagi menghadapi serangan liar musuh dengan tidak mengabaikan amalan-amalan sunat bagi melestarikan amalan fardhu, tutur patahnya di saat tenang mahupun saat cemas semuanya dikaitkan dengan nas yang kukuh.

Abad 20 telah menyaksikan ramai tokoh- tokoh Islam dengan kerencaman bakat dan kepakaran, Hassan al-Banna, Sayyid Qutb, Al-Maududi, Dr M. Natsir, Yussuf Qaradhawi, Dr Mustapha as-Sibaie, Abul Ali Hassan an-Nadwi, Ahmad Yassin, serta ribuan tokoh lain yang menulis sejarah dengan tinta emas. Namun, Tuan Guru bukan sekadar ideologue kepada gerakan Islam malah pentadbir yang berkesan, satu ruang yang jarang dikecapi oleh tokoh-tokoh besar gerakan islam yang lain. Tidak kurang pula tokoh gerakan Islam yang berada di singgahsana kekuasaan akhirnya terkumpul dengan imej kebejatan dan kebobrokan.

Tiga dekad PAS berkuasa di Kelantan, sebahagian besarnya dengan keupayaan Tuan Guru melakar kejayaan , mematikan perlecehan terhadap kemampuan Islam memerintah negara.Tokoh murabbi ummah ini meninggalkan kita dengan seribu kebaktian dan menjadi cermin keteladanan di jalan dakwah, tarbiah dan siasah. Maestro dakwah ini menjadi arca yang memantulkan cahaya pembias sehingga mengharumkan gerakan Islam ini, pemergiannya ke negeri abadi untuk selamanya telah ditangisi jutaan manusia, melepasi sempadan geografi dan politik

Melihat kepada denai sejarah indah perjuangan Tuan Guru, maka wajar pemimpin PAS Kelantan hari ini juga seupaya mungkin menyusuri jalan yang sama ,elakkan kontroversi ,polemik serta intrik. Semoga Kelantan untuk masa mendatang juga semakin membaik dan menjadi panutan kepada negeri lain. Almarhum Tuan Guru tidak pernah bermanis muka dengan jahiliah, apologetik dengan musuh-musuh yang menganggu agama, bahkan tidak rela agama ini dipermainkan. Jangan legasi ini disepelekan dan hanya menjadi sejarah !

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi Lujnah Kesenian Dan Kebudayaan Pusat)

Ulasan