Unta Merah


Banyak isu dengan Vellfire ni. Memang sensitiflah orang. Musuh politik pulak tukang bakar. Kalau dulu jenama Mercedes. Biarlah buruk pun, asal Mercedes, mesti akan jadi isu panas.

Ada satu kerajaan negeri yang baru bertukar, pada mula-mula memerintah, pegawai tinggi kerajaan yang cadang Exco-Exco pakai Mercedes. Bersungguh benar dia promote. Nak buat isulah tu kut. Kalau jadi isu, yang kena Exco, dia lepas.

Tapi setakat ni, walaupun pakai Audi ke, Mercedes ke, Vellfire ke, tak pernah lagi ada yang ditangkap kerana salah laku atas pembelian itu. Hak memiliki kenderaan rasmi ada dalam peraturan kerajaan. Beli jenama apa, tak salah, yang mungkin salah ialah cara beli. Itupun orang yang bertanggungjawab membelinyalah yang ada masalah.

Maksudnya pembelian sah, cuma yang boleh dibincangkan, jenis kereta tu itu, kereta apa. Yang penting, ia mesti tahan dan selamat dan kalau boleh, murah. Cuma, ada ke pakej kenderaan berkualiti tinggi serba serbi dan murah?

Tapi murah pun, macam Perdana V6 versi Honda, walau sedap dipakai, servisnya ya Allah, sampai ada yang pernah buat laporan SPRM sebab kos penyelenggaraannya. Di sebuah negeri, selama lima tahun, kos yang dikenakan kepada 16 buah Perdana V6 itu ialah sebanyak RM1.07 juta. Tak ke gila?

Kerajaan PAS Terengganu selepas menang, pada tahun 1999, berkebetulan kereta-kereta lama yang ada sudah sampai masa ditukar. Jadi, secara tidak langsung, terciptalah isu dengan membeli Mercedes 'mata belalang'. Agak panas juga waktu itu isu ini.

Terpalit kisah beberapa orang Exco ketika itu yang dibuat persepsi oleh lawan sebagai menyalahguna kenderaan mereka dengan urusan peribadi sedangkan sudah termaktub yang kereta itu boleh digunakan bagi semua urusan dan keluarga juga boleh menaikinya. Ia sama seperti kereta miliknya sehingga tamat tempoh perkhidmatannya.

Apa pun sebagai orang politik, unta-unta merah yang terbaik diperlukan bagi kelancaran pergerakan mereka. Boleh dipersetujui jika ada bantahan berkenaan jenis kenderaan agar tidak terlalu mahal untuk dibeli. Walau bagaimanapun, isu kualiti dan keselamatan, mesti menjadi keutamaan.

Tetapi ada satu satu lagi isu disebalik semua itu, iaitu isu pembelian kenderaan oleh GLC-GLC kepada pengerusi mereka yang kebetulannya juga orang politik seperti MB atau Exco. Jika ada tiga GLC besar yang diterajui orang yang sama, maka biasanya akan ada tiga kenderaan rasmi sebagai Pengerusi GLC itu.

Mungkinkah tiga GLC itu boleh berbincang dengan MB atau Exco yang terbabit supaya tidak dibelikan kenderaan itu. Atau jika ada keperluan membeli, ia dikongsi bersama tiga GLC itu membeli satu kenderaan sahaja.

Ia pasti lebih jimat. Duit lebihan itu mungkin boleh ditambah bagi peruntukan CSR oleh GLC berkenaan contohnya yang mana akan kembali kepada kebaikan rakyat. Ini jika cadangan ini masih belum dilaksanakan. Jika sudah, alhamdulillah.

Tapi tak mengapa sebab yang penting PH dah kalah, PN kembali bertaut, MN dah didaftarkan dan Anwar tidak menjadi PM maka harapan DAP mahu menguasai kembali negara, ditutup buat masa ini. Bukankah itu hasrat semua rakyat Malaysia yang waras dan cintakan kedamaian?

Dan bagi yang suka sangat memfitnah tentang isu Vellfire ini, ingatlah sikit dengan HELL FIRE. Dia yang kau fitnah, paling kurang dapatlah merasa nikmat menaikinya dan tak ada kesalahan dan dosa pun, kau pulak sebab fitnah, masuk dalam jurang neraka, apa pun tak dapat.

Mohd Nasir Abdullah

22 Oktober 2020

Ulasan