Basah Hati Tok Wakil, Bagai Basah Tubuh Rakyat


Oleh : Ummi Zah

Membuka jendela di bulan November, pasti angin bertiup kencang bersama ombak kuat membadai pantai petanda musim monsun Timur Laut dan tengkujuh menjengah di muka Kuala Terengganu. 

Senandung tangisan alam, hujan dan 'bayu rakus' itulah yang beralun setiap hari. 

Ada anak kecil menangis terputus bekalan, susu di dada ibunya sudah kering dan ayah, sang nelayan, merenung langit kelam. 

Rezekinya tersekat, diduga Allah dengan laut berkocak, mana mungkin 'bot fiber' meredah hujan lebat penghujung saban tahun. 


Di sisi lain, bebudak lelaki perempuan, girang ria menikmati fenomena perubahan alam. 

Hanya musim berawan kelam kekadang hitam pekat, adalah masa untuk berkubang dalam lumpur, dalam lopak. 

Biar keruh airnya tidak sebiru kolam namun merenangi bencah lebih keterujaan mereka, seolah-olah menang pingar dalam olimpik! 


Saat itu, sosok tubuh 'tok wakil' Wan Sukairi Wan Abdullah Ahli Dewan Undangan Wakaf Mempelam( ADUN) telah meredah medan, turun melihat gerangan rakyat sukar, bantuan apa yang mampu dihulur saat air langit mencurah bumi. 

Habis sidang DUN pada siangnya, langkah YB terus membelah malam menyonsong aduan yang di terima, ada rumah dimasuki air kerana tiada saliran sempurna, ada ketua usrah uzur tak mampu mengangkat barang, namun mereka perlu dipindahkan. 

Turun bersama Khidmat Malaysia dan Jabatan Amal untuk membantu menyampaikan sedikit keperluan dapur sambil melihat sendiri permasalahan masyarakat dalam kawasan mandat PRU lalu. 



Itulah rutin, saban tahun menjelang Disember!

Jalan tenggelam dinaiki air, longkang kecil tersumbat, tanah tambun jiran tetangga, tinggi menyebabkan tanah rendah di penuhi air hujan. 

Itulah warna warni musim basah, dingin tengkujuh.... 

Ulasan