Bob Lokman : ” Ana Minta Maaf Dengan Anta!”


 oleh: Dr Riduan Mohamad Nor,

“Assalamualaikum….Ana nok tinggal sikit wasiat ko anta…
Kalu taqdir ana sampai,
Ampunkan semua dosa ana,
Bagi peluang pada anak ana untuk mengaji sampai habis disitu ( an nur Setiu)
Dua orang anak ana ada orang bayarkan yuran, ana tak pasti siapa.
Amanee loni ana bayar. InsyaALLAH akan diteruskan oleh zaujah Ana.
Amanah seterusnya selepas hafazan ada pada Ustaz Nazri.
Terima kasih banyak kerana menjadi sahabat ana. Ana wakaf kan anak Ana untuk Islam. Tolong selalu ingatkan mereka pesanan Ana jangan jual ilmu agama. Cari duit dengan meniaga.”

Mesej pada aplikasi wassap itu menerjah skrin daripada insan yang aku sayangi dalam persahabatan dan gerakerja amal Islami. Hati berdebar dan adrenalin berombak kencang, mesej itu sangat serius dan tidak melambangkan abang Bob yang suka bergurau dengan aku ( termasuk membahan aku). Belasan tahun umur persahabatan kami , sudah seperti adik beradik, dia tahu titik kelemahan dan kelebihanku ,begitulah sebaliknya. Kali ini bukan candaan , dia meminta maaf kepada seluruh AJK LESTARI dan keluar grup wassap, dengan pantas NGO Muslim Care Malaysia menggalang dana untuk perubatan jantung abang Bob.

Haji Jo dan Safuan memecut kenderaan ke HUSM Kubang Kerian menemui Bob dan Isterinya, Muslim Care Malaysia sebagai NGO yang dianggotai oleh abang Bob tak berlengah. Terus menggalang dana untuk mencari 60 ribu ringgit untuk pembedahan jantung abang Bob yang akan diadakan dalam tempoh kurang sebulan. Gerakan swadaya bertaraf antarabangsa ini mengambil tempoh kurang 48 jam untuk membantu menghimpunkan jumlah wang yang diperlukan untuk pembedahan yang dijadualkan pada hari Rabu atau hari Khamis minggu ini. Duit telah cukup dan kita tak boleh berlengah, kondisi abang Bob agak lemah. Haji Zulwahijan , Presiden Muslim Care Malaysia dan Timbalan Pengerusi LESTARI (ii) telah mengerahkan kudrat dan upaya MCM untuk membantu anak seni cum aktivis kemanusiaan ini.

” ana rasa sedih Ustaz bila teringat pada Abang Bob,,walau baru sangat je kenal dia” tukas Ustaz Taufik yang merupakan Mudir Tahfiz an Nur Besut. Ya, sesiapa yang mengenali Abang Bob pasti akan merasa sedih apatah lagi warga an Nur Besut dan an Nur Setiu. Tiga orang anak-anak Abang Bob mencicip ilmu disini. Dia mengenderai kenderaan beratus kilometer semata-mata untuk memasak nasi maqlubah untuk warga tahfiz. Kadang , kondisi kesihatannya melemah,namun dia tetap tersenyum di Kompleks Tahfiz An Nur untuk menyediakan nasi arab maqlubah . Seronok dan rasa bahagia jika anak-anak tahfiz melahap air tangannya, ruang dapur tahfiz hingar bingar dengan usik mengusik. Kadang nasi maqlubah dimasak di rumahnya di Kubang Kerian ,dibawa untuk dijamu pada warga Tahfiz.

Bila tahu abang Bob sakit dan akan menjalani pembedahan jantung, anak-anak Tahfiz an Nur Besut dan Setiu terus mengadakan solat hajat dan berdoa agar insan yang cakna pada anak-anak tahfiz ini dikurniakan kesembuhan . Dia mengusahakan mesin dobi pada an nur Setiu dan mengusahakan untuk membeli van untuk an Nur Besut ( jumlah dana belum mencukupi, masih dalam proses mengumpul dana). Dipelbagai tempat lain juga beliau membantu mengutip dana membina maahad,surau , membantu orang lain yang dihempap kesusahan maka tak pelik jika beliau disayangi oleh ramai insan lain.

Sosok anak seni,aktivis kemanusiaan yang juga pendakwah ini sentiasa dekat dihati kita. Para asatizah, alim ulama ,bahkan ilmuan Islam juga dimesrai oleh abang Bob. Beliau rapat dengan Tuan Guru Haji Abdul Hadi, almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan ulama yang lain, maka tak pelik jika ramai yang mendoakan beliau serta menghulurkan sumbangan.

Sakit atau sihat , abang Bob tetap menjadi perhatian masyarakat, teman-teman aktivis terus bercakap tentang Bob dan berita keuzuran anak seni ini dengan pantas berjangkit di alam siber. Bob atau nama sebenarnya Mohd Hakim bin Lokman bin Ahmad bin Yusuf al Kenali belasan tahun dahulu dengan nekad telah meninggalkan kerlipan industri hiburan dan menyertai PAS dalam himpunan 30k Pemuda Pas di Alor Setar. Anak seni dengan tarikan pesona yang besar ini tetap menggunguli pentas ceramah PAS serta pengisi program masjid surau,malah acara besar PAS ,namanya tetap dalam senarai papan carta utama. Dalam parti Islam, beliau beberapa sesi berada dalam Lajnah Kesenian Dan Kebudayaan. Ajaklah berprogram kemana sahaja walau terpaksa mengusung tangki oksigen, ke pulau-pulau terpencil , kawasan pedalaman, FELDA, FELCRA, dia tak serik kerana dirinya telah diwakafkan untuk perjuangan dan dakwah.

Mengendong tendensi dan bakat dibidang pengacaraan yang beliau puluhan tahun ceburi selamaa ini. Bob adalah alumni Maahad Hamidiah Kajang, pernah membesar di Pondok Tok kenali kubang kerian, juga merupakan cicit Tok Kenali dan cucu Tuan Guru Haji Ahmad Bangkok. Bakat berdakwah ada dalam darahnya dan beliau juga merupakan anak saudara almarhum ustaz Mawardi Ahmad, bekas ADUN Lundang. Menarik pula ,dia tak bercita-cita untuk menjadi anggota Legislatif atau berniat menjadi pimpinan. Gerakerja dipacu untuk meraih pahala dan menjaga keikhlasan .

Lelaki berpostur besar ini semenjak berhijrah daripada alam selebriti terus menjadi pentaksub ilmu, menghadiri majlis ilmu, berusrah serta turun menjelajahi negara untuk berkongsi pengalaman serta menitip nasihat buat anak muda. Bob Lokman juga berusaha untuk menarik kawan-kawan artis untuk kembali menghayati ajaran Islam seterusnya berhijrah ke alam fitrah. Rumah beliau di Sungai Buluh sering menjadi tempat berusrah serta majlis silaturrahim. Jika dibuat dilokasi selain rumahnya,maka tugasnya untuk memasak kepada majlis yang kami adakan dibawah Lujnah Kesenian.

Semenjak abang Bob jatuh sakit dan kadang kala kesihatannya merosot dengan teruk maka aktivitinya separa terhenti , ditambah dengan pandemik kovid. Beliau dan isteri sejak berpindah ke Kelantan daripada Sungai Buluh berniaga secara kecilan bagi menghidupkan dapur. Musim pandemik yang mendunia ini sedikit sebanyak kondisi ekonomi juga terjejas . Aku merayu teman- teman semua untuk mendoakan pembedahan jantung Bob Lokman berjaya , kerana sewaktu jasadnya sihat kita memanfaatkan bakat dan popularitinya untuk perjuangan Islam. Semoga pengorbanan Bob dicaknai kita semua, terimakasih kepada Muslim Care Malaysia , ahli-ahli jemaaah PAS, seluruh rakyat Malaysia yang mendoakan dan membantu abang Bob.

( Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)

Ulasan