Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor
Tahun 2020, tahun pandemik yang semakin berlari meninggalkan kita yang masih termanggu dan culas memohon keampunan. 50 juta warga dunia telah disengat wabak ini dengan kematian hampir dua juta warga dunia dengan Amerika ditangga paling atas jumlah kematian. Allah SWT yang maha perkasa membuka ruang seluas mungkin untuk mengampunkan dosa-dosa kita , para pendosa yang tak sedar dek untung.
Musim wabak covid 19 ini masjid suram dan sepi daripada kuliah-kuliah agama kecuali Kelantan, Pahang, Kedah, Melaka dan Perlis. Hatta Terengganu Darul Iman yang tiga hari berturut-turut nol kes covid tetap dilarang kuliah agama diadakan oleh pihak berkuasa agama. Sayang seribu kali sayang, majlis pengampunan dengan bonus pahala yang meruah namun sebahagian kita masih leka dan terbuai diulit mimpi. Masa yang sangat berharga, dihabiskan dengan menonton siaran televisi dan menggodek telefon pintar. Acara Anugerah Bintang Popular (ABP) tetap dipromosi dengan begitu galak sekali walhal bantahan umat Islam bergelombang hangat di Media sosial meriah dimusim PKPB ini. Warga tanahair bertuah ini pelik jika acara ini diteruskan walau mematuhi SOP , difahamkan jumlah krew rancangan ini sahaja akan mencecah 300 orang, berapa pula jumlah artis , selebriti dan kenamaan yang akan hadir?Sangat kontradik dengan larangan menganjurkan apa sahaja majlis agama berskala besar seperti sambutan Maulid di masjid tak dibenarkan ,namun membenarkan acara berprestij ini diadakan atas alasan menjaga SOP. Hedonisme terus bergentayangan dan kita terus terlalai walau jasad terpasung didalam musim wabak yang sedang menggila ini.
Rugilah kita semua jika musim PKPB ini,namun maksiat dan kemungkaran tetap merajai nurani kita. Bahkan kalam suci tak mampu kita sulam dan menghayatinya tetapi dijarah masa dengan menonton bervariasi hiburan daripada satu rancangan ke rancangan hiburan yang lain. Tujuannya untuk membunuh masa, sedangkan masa adalah modal dunia kita paling berharga untuk dibawa ke negeri abadi. Alangkah singkatnya umur umat Muhammad, sehingga setiap hari pun tak lepas kita menerima khabar kematian demi kematian.
Berhibur tanpa batasan akan menjadikan kita hilang nikmat beribadah. Apatah lagi hiburan yang tidak patuh syariah dan tidak disiram ketaatan kepada Allah. Hiburan bersalut dosa menjadikan hati kita hitam, menjadi sulit untuk melakukan kebajikan bahkan tangan dan mulut senang untuk mengeji dan menista. Lebih malang juga kali ini ,kita menghina orang miskin dan yang memerlukan bantuan. Kita menjadi sangat rapuh dalam menimbang baik dan buruk , bahkan menjadi kurang manusiawi. Berakar daripada kerancuan berfikir dalam beragama maka tak sedikit umat Islam menjadi liberal dan menjunjung nilai pragmatisme.
Penggalang pemikiran pragmatis tidak akan meletakkan acuan dosa dan pahala dalam tindakan mereka, pertimbangan moral dam akhlak tiada dalam neraca pemikiran
Seni dan hiburan diakui keabsahannya mendidik manusia, bahkan merupakan salah satu daripada method dakwah yang digunakan oleh para ulamak dalam mengembangkan dakwah Islam. Di Nusantara, ketika Islam mulai berkembang terutama sejak abad ke-13 Masehi, para ulamak telah mengggunakan pelbagai pendekatan seperti perkahwinan, penubuhan kerajaan Islam, pedagangan dan sebagainya sebagai method dakwah. Untuk melengkapkan lagi gerakan dakwah, sebahagian ulamak di Nusantara menjadikan seni dan hiburan ini sebagai method dakwah mereka. Antaranya seperti dakwah wali Songo dalam masyarakat Jawa, merubah medium seni sebagai wahana dakwah yang interaktif.
Sepanjang sejarah perkembangan dakwah, para ulamak telah menggunakan seni suara (muzik), wayang kulit, seni ukir, seni bina, penulisan sastera, seni mempertahankan diri dan beberapa kesenian yang lain sebagai sebahagian daripada pendekatan. Salah satu faktor kepentingan dakwah melalui seni juga berjaya merengkuh perhatian manusia dengan seni yang berkiblat. Kita semua sewajarnya membuat penelitian terhadap hiburan yang tidak menjuruskan anak muda kepada "sensate culture", budaya hiburan kosong yang melalaikan dan merencatkan intelektual.
Masyarakat muslim perlukan vitamin intelektual dan hiburan patuh syariah yang membina peradaban. Pemimpin -pemimpin negara jangan mengambil mudah bantahan rakyat muslim, musim wabak adalah masa untuk kita bertaubat dan memohon pengampunan daripada Allah agar diangkat segera pandemik ini . Pemimpin adalah penjaga agama , bukan babi yang merosakkan tanaman diperkebunan nan hijau, kalian akan bangkit diakhirat dengan pertanggungjawaban . BATALKAN ABPBH ,gelombangkan Malaysia bermunajat dan bertaubat!
(Penulis ialah Pengerusi LESTARI, Pendakwah Dan Penulis)
Ulasan