Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor
Minggu lepas usai kuliah subuh di masjid Seberang Marang , Terenganu aku diajak bersarapan pagi dengan pemimpin masyarakat setempat , termasuk orang-orang lama Marang. Aroma nasi dagang yang lazat membuka selera pagi dengan kepulan asap wangi teh dan kopi yang menjulang kelangit. Aku memuji masyarakat Marang yang sangat mengimarahkan masjid dan majlis-majlis ilmu.
” berkat Ayah Chik mengajar ustaz, dulu orang Marang tempat tertentu je , hidup mengamalkan agama seperti sekitar Rusila, kalau sebelah Seberang Marang ni berat jugok ” tukas Ayah Mat, orang lama yang merasai hidup meremaja dalam dekad 1960 dan 70an. Ayah Mat ialah seorang guru silat Gayung di daerah ini dan sempat melatih serta mengasuh anakandaku bergayung ,Muhamad Jundullah di MDQ Rusila .
” Zaman dahulu , ada puja pantai, bersemah semangat laut , tahun 60an rancak lagi …malam -malam pula dengan hiburan gaya lama seperti rodat, makyong, rambong ,main puteri , wayang kulit di Marang ini..paling akhir diadakan pada tahun 1975″ sambung Pengerusi Masjid Seberang Marang, seorang Ustaz yang juga pimpinan PAS tempatan . Ralik dia mengunyah nasi dagang sambil mengimbau kembali dua zaman di daerah Marang.
Aku menjadi pendengar yang baik, meneliti patah-patah bicara orang -orang lama daerah Marang. Berlabun tentang zaman ” jahiliah Melayu” sehingga arus kebangkitan Islam melanda warga Terengganu terutama di daerah Marang. Jalan ceritanya tak jauh lari dengan apa yang berlaku di Besut dalam dekad 60an dan 70an. Puja pantai disambut dalam bulan Safar, dengan tujuan menjamu penunggu laut dengan harapan rezeki nelayan akan melimpah ruah dan tak diganggu semasa mencari rezeki ditengah lautan. Sedangkan Allah , ” ar Razzaq” tuhan maha pemberi rezeki serta juga pemilik alam yang berkuasa menentukan mudarat atau kenyamanan.
Kedai arak beroperasi di Jerteh untuk orang Melayu tanpa segan silu atau merasa bersalah meneguk minuman haram itu. Setiap tahun tanpa gagal, funfair, sarkas dengan membawa budaya perjudian, ekspo dengan konsert-konsert artis daripada Lembah Kelang memeriahkan masyarakat tempatan yang sudah jauh daripada pengamalan beragama. Iklan arak dimedia utama , akhbar ,majalah juga dikaca tv sehinggalah PAS berjaya mendesak pengharaman iklan -iklan arak di media perdana semasa berada didalam kerajaan campuran dekad 70an.
Pengamalan hidup beragama hanya dalam pagar pondok pengajian Islam sahaja, masyarakat luar pondok dengan pesona ” the blue eyes mentality”. Penghujung dekad 60an dengan Beatlemania yang merasuk anak muda dengan budaya pop daripada Barat,manakala dekad 70an pula fenomena rock klasik dengan kemunculan kumpulan Deep Purple, Santana , The Eagle, Uriah Heep dan yang sama waktu dengannya.
Selain pelajar sekolah agama,sekolah arus perdana dengan pelajar-pelajar lelaki berseluar pendek manakala pelajar perempuan tak bertudung. Kiblat anak muda dan remaja ialah Barat dengan segala tarikan pesonanya, puluhan ribu calon-calon MCE tidak mengambil subjek agama dengan diganti subjek lukisan yang tak memerlukan kefahaman dan hafazan. Maka lahirkan pelajar-pelajar yang buta agama serta tidak peduli akan syariat.
” Ustaz tahu …dulu Tok Guru start mengajar di masjid Rusila tahun 1976,ganti tapak ayahanda dia ..ngajar pagi jumaat dan malam-malam tertentu..bukan ramai mana pun orang pada mulanya” sambung Ayah Mat lagi.
” usrah -usrah berjalan,terutama hok muda-muda dengan semangat Islam, termasuk dekat kilang kayu ambe kerja pun ada usrah dibuat masa rehat tengahari” leretnya lagi. Usrah adalah matarantai daripada elemen perkaderan dakwah. Aku teringatkan Ustaz Mohamad Nor Harun yang pernah bersama usrah ABIM Terengganu dalam dekad 70an , juga usrah pemuda PAS zaman itu yang kebetulan kedua gerakan anak muda ini dipimpin oleh Ayah Chik.
” enta tahu dok, zaman tu kadang tamrin kawasan ..hanya 10 hingga 15 orang je. Ayah Chik pusing daripada kemaman ke Besut, setiap minggu kawasan lain-lain. Ana masa muda naik motor daripada KT ke Kemaman, baju basah kena hujan tapi kering atas motor je” imbau Ustaz Mad Nor yang pernah menjadi calon PAS di Dungun .
Ayah Chik dalam awal dekad 80an terus menjadi fenomena , simbahan kebangkitan Islam yang melanda tanahair serta fenomena yang mendunia turut menguatkan fenomena Tok Guru Haji Hadi. Masjid Rusila menjadi simbol kebangkitan ummah, kehadiran khalayak pada kuliah hari jumaat mencecah angka puluhan ribu pengunjung. Pernah menjangkau ratusan ribu semasa berlangsungnya Ijtima ‘Alami kali pertama.
Orang Marang begitu sayang batang tubuh Ayah Chik, semasa gelombang tangkapan ISA pada tahun 1984 dan 1987 ,para pemuda menyiapkan tim kawalan untuk menjaga keselamatan Tok Guru. Perkampungan Rusila dijaga dengan rapi , jika nak ambil jasad Ayah Chik maka ambil sekali jasad para pemuda . Awal dekad 80an gaya pemakaian patuh syariah mula melanda tanah Darul Iman, kuliah-kuliah ilmu berjalan di masjid ,juga markas-markas tarbiah PAS. Tokoh-tokoh ulama PAS mengajar masyarakat untuk kembali kepada ajaran Islam yang sebenar, menjauhi syirik serta khurafat kesan daripada asimilasi Animisme yang dianuti oleh masyarakat Melayu lima abad lalu.
Mimbar Masjid Rusila menggemakan seruan kembali kepada Islam yang syumul, Ayah Chik seumpama Sheikh Abdul Hamid Kisk di Mesir yang menggegarkan mimbar jumaat dan menakutkan regim pemerintah. Majalah ASIAWEEK meletakkan gambar Ayah Chik dimuka utama majalah berprestij di rantau Asia ini. Tarikan pesona Masjid Rusila seakan Masjid al Azhar di Jakarta saat Buya Hamka mengkuliahkan tafsir al Azhar . Wajah Terengganu berubah dengan pantas dengan kegigihan sang pencerah memberikan ilmu kepada masyarakat terutama ahli-ahli PAS itu sendiri. Almarhum Ustaz Abdul Latif Mohamad, Ustaz Dato Husein Awang, almarhum Ustaz Awang Nasrudin Abu Bakar, almarhum Ustaz Dato Harun Taib, almarhum Ustaz Awang Dagang, almarhum Ustaz ABC dalam bidang perkaderan dakwah, almarhum Tuan Guru Zainal Abidin Dungun dan ratusan para asatizah PAS yang telah merubah gaya hidup rakyat Terengganu.
Kuatnya semangat Islam dalam jiwa anak-anak muda Terengganu dalam dekad 1980an sehingga Terengganu antara negeri yang tidak boleh dianjurkan ” konsert Battle of The Bands” . Menganjurkan konsert maka akan ada bantahan awam yang akan merugikan penganjur dan membimbangkan parti pesaing PAS. Bumi Tok Ku Paloh tak akan ternoda dengan maksiat dan kemungkaran!
(Penulis ialah AJK PAS Pusat, AJK BPPAS Terengganu)
Ulasan