Islamofobia adalah istilah kontroversi yang merujuk kepada prasangka buruk secara melulu dan diskriminasi melampau terhadap Islam dan penganutnya yang beriman dan beramal dengan ajaran Islam yang sebenar. Golongan yang mempunyai sikap Islamofobia merasakan terlalu benci terhadap Islam, sehingga membawa kepada perasaan takut dan tidak suka kepada orang Islam secara semberono. Kemudian umat Islam didiskriminasikan dan diasingkan daripada menyertai aktiviti kehidupan bermasyarakat.
Islamofobia juga termasuk persepsi mereka bahawa Islam mempunyai nilai yang berbeza dengan budaya lain, dan dianggap lebih rendah nilainya daripada nilai Barat yang liberal (bebas). Mereka juga menganggap Islam mempunyai ideologi politik yang ganas dan melampau, sehingga lebih dikenali sebagai satu agama yang paling melampau.
Jika dianalisis secara terperinci dengan benar, adil dan melalui pemikiran konsisten dalam mengkaji ajaran Islam, nescaya akan terdedah sebab sebenar berlakunya Islamofobia kerana mereka takut dan juga disebabkan oleh kezaliman melampau yang mereka sendiri pernah lakukan terhadap Islam dan penganutnya dalam sejarah, seperti Perang Salib yang dilancarkan terhadap umat Islam dan negaranya.
Pada masa sama, kesan Islamofobia turut meningkatkan usaha mengkaji Islam secara langsung daripada sumber yang asli dan terjun sendiri ke dalam masyarakat bagi menghayatinya dalam kehidupan, bukan melalui bahan terjemahan yang ditulis oleh musuh Islam, seperti para orientalis yang menulis dengan penuh kebencian sehingga hilang perhitungan akal yang ikhlas dan tidak tepat.
Sejarah mencatatkan bahawa Kota Baitul Maqdis pernah bermandi darah akibat pembunuhan kejam yang dilakukan oleh bala tentera Salib. Namun, selepas Sultan Salahuddin al-Ayyubi beroleh kemenangan dan berjaya membebaskan kota suci itu, beliau mengambil pendekatan untuk tidak membalas dendam dan berperikemanusiaan terhadap musuh. Tindakan itu sangat berbeza dengan apa yang dilakukan oleh tentera Salib sebelum itu.
Ajaran Islam yang sebenar menjelaskan perintah Allah SWT dalam al-Quran, firman-Nya:
﴿وَإِنْ عَاقَبْتُمْ فَعَاقِبُوا بِمِثْلِ مَا عُوقِبْتُمْ بِهِ وَلَئِنْ صَبَرْتُمْ لَهُوَ خَيْرٌ لِلصَّابِرِينَ١٢٦ وَاصْبِرْ وَمَا صَبْرُكَ إِلَّا بِاللَّهِ وَلَا تَحْزَنْ عَلَيْهِمْ وَلَا تَكُ فِي ضَيْقٍ مِمَّا يَمْكُرُونَ١٢٧ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الَّذِينَ اتَّقَوْا وَالَّذِينَ هُمْ مُحْسِنُونَ١٢٨﴾
“Dan jika kamu memberikan balasan, maka balaslah dengan balasan yang sama dengan seksaan yang ditimpakan kepadamu. Akan tetapi jika kamu bersabar, sesungguhnya itulah yang lebih baik bagi orang-orang yang bersabar. (126); Bersabarlah (wahai Muhammad) dan tiadalah kesabaranmu itu melainkan dengan pertolongan Allah dan janganlah kamu bersedih hati terhadap (kekafiran) mereka dan janganlah kamu bersempit dada terhadap apa yang mereka rancang untuk dilakukan. (127); Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang bertaqwa dan orang-orang yang berbuat kebaikan. (128).” (Surah al-Nahl: 126-128)
Sejarah juga membuktikan apabila tentera Salib menjajah tanah air umat Islam, agama Islam dan penganutnya diganyang sehingga jutaan nyawa terbunuh secara kejam di Asia, Afrika dan Amerika Selatan. Selain itu, mereka juga ditawan dan dijadikan hamba abdi, rakyatnya pula diperas bagi merompak hasil kekayaan bumi Islam. Musuh mengambil peluang ini akibat kelemahan umat Islam kerana meninggalkan ajaran Islam yang sempurna.
Sejarah menjelaskan suatu keadaan yang sangat berbeza ketika Islam berkuasa dan memerintah di negeri bukan Islam setelah berjaya mengalahkan dua kuasa besar dunia, iaitu Parsi dan Rom dalam banyak siri peperangan yang besar. Walaupun begitu, peperangan itu tidak melampau kerana perintah Allah SWT dalam al-Quran:
﴿وَقَاتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ١٩٠﴾
“Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.” (Surah al-Baqarah: 190)
Rasulullah SAW dan para Khalifah mendidik bala tentera Islam, bahawa haram dan berdosa jika melampau ketika berperang menentang musuh. Tentera Islam dilarang membunuh rakyat yang tidak terlibat dengan peperangan seperti orang tua, kaum wanita, kanak-kanak dan para paderi di gereja.
Apabila Islam berjaya mengambil alih negeri-negeri yang dijajah oleh kuasa besar dunia itu, rakyatnya tidak diperhambakan sepertimana yang dilakukan oleh penjajah. Malahan harta mereka tidak dirompak, tetapi diurus dengan baik dan ditadbir kehidupan mereka dengan adil terhadap semua, sehingga mereka beramai-ramai tanpa sebarang paksaan memeluk Islam.
Sehingga kini masih ada dalam kalangan bukan Islam yang menganut agama masing-masing dan rumah ibadat mereka masih tetap wujud sejak ribuan tahun yang lalu.
Ada tawanan perang yang dinamakan abdi (mengikut istilah semasa itu), namun ditetapkan hukum wajib memberi nafkah kepada mereka dan layanan dalam keluarga. Memerdekakan hamba menjadi suatu bentuk hukuman bagi kesalahan ibadat dan jenayah, serta galakan pahala yang besar sekiranya hamba itu dibebaskan, dan berdosa besar jika mereka dizalimi.
Akhirnya ramai hamba yang dibebaskan. Daripada mereka itulah kemudiannya muncul para sultan, pemimpin, pahlawan dan ulama’ besar yang memimpin kerajaan Islam bukan Arab yang terdiri daripada pelbagai bangsa, sehingga hilangnya konsep perhambaan dalam masyarakat Islam.
Namun, ia berbeza dengan era penjajahan Barat yang kejam, apabila hamba abdi dijadikan sebagai salah satu perdagangan yang laris dibawa ke seluruh jajahan takluk mereka di seluruh benua. Tujuannya hanyalah untuk mengambil hasil negeri jajahan takluk, bahkan mereka dilayan dengan zalim sehingga zaman kini.
Bangsa Barat membunuh secara kejam jutaan nyawa anak kelahiran negeri yang dijajah kerana mereka mempertahankan tanah air dan hak mereka. Sehingga penjajah akhirnya terpaksa memberikan kemerdekaan yang masih terikat dengan kepentingan negara mereka.
Negara penjajah tersebut melakukan kekejaman sewaktu dua Perang Dunia yang berlaku di tanah air umat Islam yang dijajah di Afrika, Asia Barat, Asia Tengah dan Asia Tenggara. Bahkan wilayah ini dijadikan medan peperangan, sehingga ramai dalam kalangan umat Islam dipaksa menjadi bala tentera mereka.
Keadaan ini menyebabkan jutaan rakyat umat Islam menjadi mangsa kedua-dua Perang Dunia yang berlaku, sama ada dibunuh kerana menjadi tentera musuh atau bersama rakyat mempertahankan tanah airnya.
Medan perang pula dijadikan tempat ujian senjata sehingga zaman kini dan mencetuskan huru-hara di Afghanistan, Iraq, Yaman dan negara lain.
Walaupun penjajah yang datang daripada beberapa negara Eropah itu sudah dipaksa keluar daripada tanah air umat Islam dan umat Islam sudah dikatakan mendapat kemerdekaan, namun umat Islam masih diikat dengan syarat-syarat yang sentiasa bergantung kepada mereka. Situasi tersebut menghalang sebarang penguasaan politik, ekonomi, pentadbiran, teknologi, media dan lain-lain.
Strategi ini digunakan untuk mengepung Islam dan penganutnya di segenap penjuru dan aspek, sehingga Islam dianggap seperti penjenayah yang diletakkan dalam kandang mereka yang sudah dihukum bersalah sebelum dibicarakan dalam mahkamah. Walhal mereka dipaksa mengaku salah di hadapan hakim yang telah disediakan hukuman dan keputusannya sebelum mahkamah dibuka.
Sepatutnya Barat perlu berlaku adil terhadap Islam sebelum menghukum dan dikaji ajaran Islam terlebih dahulu. Bahkan dibuat perbandingan secara ilmu dan iktibar sejarah antara perbezaan fahaman mereka dengan ajaran Islam yang masih dipelihara dalam kitab suci al-Quran dan penulisan ilmu yang dicatat dengan nyata sejarah pelaksanaannya, sehingga tidak dapat disembunyikan atau diselewengkan sedikit pun. Ini kerana masih ada dalam simpanan bahan bertulis.
Sebahagiannya telah dikaji oleh para orientalis bukan Islam dalam kalangan bangsa penjajah. Sebahagian lain pula tersimpan dalam arkib yang dicuri oleh penjajah di beberapa buah negara.
Perkara tersebut menunjukkan Islam telah memberikan suatu sumbangan ilmu yang besar ketika Eropah masih berada dalam kegelapan sekularisme yang memisahkan urusan dunia daripada agama yang telah diubah daripada Kitab Allah. Kitab yang telah dipinda itu menjadi kitab yang jumud dan tiada petunjuk tentang hal ehwal semasa hari ini.
Tamadun Islam juga telah memberikan sumbangan besar kepada sebahagian daripada kajian bukan Islam dalam urusan hidup yang telah diabaikan oleh kerajaan mereka yang bertindak zalim terhadap para ilmuwan.
Akhirnya ada dalam kalangan para ilmuwan Barat memeluk Islam dan ada juga mereka yang terus kekal menganut agama asal serta rela berada di bawah naungan Kerajaan Islam yang memberikan hak secara adil kepada mereka.
Tamadun Barat yang maju pada hari ini telah sampai ke puncak sehingga sudah tidak konsisten lagi, lalu memusnahkan diri sendiri dengan perlumbaan senjata pemusnah dan kegiatan yang ekstrem atas nama konsep kebebasan yang terlanjur di luar batas kemanusiaan. Perbuatan mereka telah merosakkan diri sendiri, memusnahkan institusi keluarga dan masyarakat setempat dan global.
Peristiwa pengeboman atom di Hiroshima dan Nagasaki menjadi bukti jenayah kemanusiaan walaupun bertujuan untuk bertindak balas terhadap keganasan, tetapi sudah terlebih daripada yang sepatutnya. Sehingga perbuatan itu merosakkan manusia dan alam sekitar yang terus bersambung sehingga memusnahkan dunia. Al-Quran telah memberikan amaran melalui firman Allah SWT:
﴿ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُمْ بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ٤١﴾
“Telah nampak kerosakan di darat dan laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” (Surah al-Rum: 41)
Barat menggunakan media yang dikawal oleh mereka seiring kemajuan meredah langit terbuka, bagi menyebarkan propaganda memburukkan Islam dan penganutnya yang sebenar. Akan tetapi mereka yang berakal sihat dalam kalangan masyarakat Barat pula ingin mengetahui berkenaan Islam melalui sumber yang asli secara langsung. Ini menyebabkan ada dalam kalangan mereka telah memeluk Islam, seperti wartawan British yang menjadi tawanan Taliban dan sukarelawan wanita Perancis yang ditawan oleh kumpulan pelampau di sebuah negara Afrika iaitu Mali.
Walaupun mereka ditawan oleh anak-anak muda yang mentah dengan ajaran Islam yang sebenar, bahkan ada mereka yang ditaja bagi merosakkan imej Islam, namun sebaliknya tawanan itu membaca dan melihat sendiri masyarakat Islam yang sebenar. Kemudian mereka dibebaskan dan akhirnya masuk Islam dan pulang membawa Islam ke negara masing-masing.
Maka tiada jawapan terhadap Islam, jika sekadar mencipta slogan tanpa hujah yang tepat seperti Islamofobia atau melakar kartun yang menghina Nabi Muhammad SAW dengan menggunakan media murahan yang laris menyebar fitnah, bukannya hujah ilmu dan akal yang waras. Namun pengaruh Islam terus berkembang secara hujah dan dalil akal serta realiti yang berlaku. Inilah dinyatakan oleh firman Allah SWT
﴿قُلْ هَلْ مِنْ شُرَكَائِكُمْ مَنْ يَهْدِي إِلَى الْحَقِّ قُلِ اللَّهُ يَهْدِي لِلْحَقِّ أَفَمَنْ يَهْدِي إِلَى الْحَقِّ أَحَقُّ أَنْ يُتَّبَعَ أَمَّنْ لَا يَهِدِّي إِلَّا أَنْ يُهْدَى فَمَا لَكُمْ كَيْفَ تَحْكُمُونَ٣٥ وَمَا يَتَّبِعُ أَكْثَرُهُمْ إِلَّا ظَنًّا إِنَّ الظَّنَّ لَا يُغْنِي مِنَ الْحَقِّ شَيْئًا إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ بِمَا يَفْعَلُونَ٣٦﴾
“Bertanyalah (wahai Muhammad): “Adakah di antara makhluk-makhluk: yang kamu sekutukan dengan Tuhan itu, sesiapa yang dengan memberi petunjuk kepada kebenaran? “Katakanlah: “Allah jualah yang memberi hidayah petunjuk kepada kebenaran; (kalau sudah demikian) maka adakah yang dapat memberi hidayah petunjuk kepada kebenaran itu, lebih berhak diturut, ataupun yang tidak dapat memberi sebarang petunjuk melainkan sesudah ia diberi hidayah petunjuk? Maka apakah alasan sikap kamu itu? Bagaimana kamu sanggup mengambil keputusan (dengan perkara yang salah, yang tidak dapat diterima oleh akal)? (35); Dan kebanyakan mereka, tidak menurut melainkan sesuatu sangkaan sahaja, (padahal) sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu dari kebenaran (i’tiqad). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka lakukan. (36).” (Surah Yunus: 35-36)
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 9 November 2020 / 23 Rabi’ul Awwal 1442
Ulasan