Kerajaan PAS Terengganu Percepatkan Urusan Rakyat


 Oleh : Nooreni Abu Bakar

KUALA TERENGGANU  - Kerajaan Parti Islam Se-Malaysia PAS Terengganu sentiasa berusaha memudah dan membantu  urusan yang melibatkan rakyat  dengan  agensi-agensi kerajaan dapat diselesaikan secepat mungkin.

Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Ladang, Dato Tengku Hassan Tengku Omar berkata beliau sering mengingatkan agar pegawai - pegawai di agensi-agensi kerajaan tidak bertangguh menyelesaikan urusan rakyat.

"Saya selalu kata kepada kakitangan saya, kalau kita boleh selesaikan masalah  dalam masa sebulan, kenapa perlu tunggu sampai setahun nak selesaikan, kalau boleh selesai dalam masa sebulan , kenapa ambil masa enam bulan, kena buat cepat. 

" Jadi Alhamdulillah, sekarang sudah ada penambah baikkan, yang lambat kita percepatkan," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika dijemput sebagai ahli panel Program Pengucapan Awam dan Isu Semasa secara atas talian pada 18 November lalu.

Program anjuran Lajnah Penerangan dan Media Baru, Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu itu yang melibatkan Muslimat PAS Dungun dan Kemaman tidak dapat diadakan secara bersemuka memandangkan Terengganu masih lagi dibawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat(PKPB).

Turut serta sebagai panel ialah Timbalan Pengarah Jabatan Penerangan PAS Terengganu, Sazali Mohd Noor.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah Dan Kesejahteraan Pentadbiran Negeri berkata, kerajaan akan turut menyerapkan kakitangan yang sekian lama berkhidmat secara kontrak kepada berjawatan tetap. 

"Kita berbincang dengan pejabat Setiausaha Kerajaan(SUK) Negeri dan bersetuju maka 40 orang kakitangan secara kontrak, ada yang bekerja selama 15.. 20 tahun bekerja secara kontrak dinaikkan ke jawatan tetap", jelasnya lagi.

Ulasan