Kumpul 20 Orang Sukarelawan Setiap DUN

 


Oleh : Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU – PAS kawasan Besut mengumpul 20 orang sukarelawan banjir di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membantu pada musim banjir yang akan datang nanti.

Setiausaha PAS kawasan Besut, Cikgu Salahuddin Jaafar berkata, oleh kerana kawasan ini hampir setiap tahun dilanda banjir, golongan tersebut amat diperlukan seramai yang boleh.

“Jawatankuasa banjir telah ditubuhkan yang menggabungkan Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Kawasan, Jabatan Amal, Alternative Riding Club (ARC), Ameerah , Pemuda dan juga Muslimat.

“Dan jawatankuasa ini juga akan bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) lain sekiranya berlakunya banjir nanti,” jelasnya.

Beliau yang juga Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Hulu Besut berkata demikian ketika dihubungi pihak media, pada semalam.

Menurutnya, pada tahun ini, seramai 120 orang sukarelawan akan didaftarkan.

Tambah Salahuddin, mereka terdiri daripada Pemuda, Muslimat, Ameerah dan NGO seperti Jabatan Amal, ARC, kelab 4X4 Evergreen.

“Mesyuarat AJK juga memutuskan Pejabat PAS kawasan sebagai pusat operasi banjir tahun ini.

“Insya Allah pelancaran sukarelawan banjir akan dilancarkan di peringkat PAS Kawasan Besut dalam masa terdekat,” ujarnya.

Beliau menambah, selain anggota sukarelawan, AJK banjir juga menyenaraikan keperluan dan logistik yang perlu disediakan untuk digunakan semasa banjir nanti.

“Antaranya seperti bot, life jaket, peralatan memasak, bahan makanan, pengangkutan 4×4 dan sebagainya,” kata beliau lagi.

Ulasan