Terkadang nak tergelak juga dengar hujah geng antivaksin yang menuduh vaksin itu mengandungi mikrocip. Ada saje teori karut direka oleh mereka untuk memburukkan vaksin COVID-19 yang sedang dalam edaran Fasa ketiga kajian.
Begitu juga rekaan perkataan baharu PLANDEMIK, sengaja dijaja oleh geng antivaksin bagi mengukuhkan teori falasi mereka bahawa COVID-19 itu adalah ciptaan konspirasi.
Mari kita membaca fakta berkaitan dengan dakwaan mereka:
1. Mikrocip terkecil yang pernah dicatatkan dalam sejarah adalah keluaran Hitachi bersaiz 0.15 x 0.15 x 0.0075 mm. Sedangkan virus COVID-19 bersaiz 60 -120 nanometer. Virus COVID-19 beribu kali ganda lebih kecil dari mikrocip. Malah virus tidak boleh dilihat dengan mata kasar kita, mesti menggunakan mikroskop elektron baru nampak. Sedangkan mikrocip boleh nampak seperti pepasir halus di tepi pantai Terengganu.
2. Hujah ini pun mereka gagal memahaminya. Cuma kita hairan, tulisan viral dikalangan mereka itu terdiri dari "cerdik pandai" juga. Sebenarnya mereka bukan cerdik pun, tetapi menciplak idea dari antivaksin luar negara. Motif utama mereka sebenarnya melariskan jualan produk sampah yang selalu mereka promosikan. itu sahaja. Jika orang sudah terpengaruh dengan dakyah mereka, jualan produk makin laku keras. Itu sahaja.
3. Vaksin COVID-19 yang sedang dalam pembikinan sekarang ini terdapat pelbagai jenis. Terdapat jenis virus yang dilemahkan/dimatikan, jenis berasaskan protin, jenis Vektor Viral dan teknik rekombinan RNA/DNA. Maknanya struktur tindakbalas imun lagi halus berbanding dengan virus itu sendiri. Jauh sekali lebih halus jika ingin dibandingkan dengan mikrocip. Terlalu amat sukar buat masa ini mencipta mikrocip sehalus itu.
4. Mikrocip itu adalah ciptaan yang tidak hidup. Ianya tidak bernyawa atau tidak boleh bertindakbalas dalam sistem imunologi manusia. Bagaimana boleh menghasilkan tindakbalas imun sehingga membina sistem pertahanan dalam badan manusia?
5. Kecanggihan sains dan teknologi pembuatan vaksin ini memerlukan dana yang besar sehingga membuahkan hasil yang akhirnya memberi manfaat kepada manusia sejagat. Golongan pendoktrin konspirasi selalu menuduh Bill Gates penyumbang terbesar pembuatan vaksin itu sebagai pelakon konspirasi untuk memupuskan penduduk dunia. Tetapi perlu kita ingat, Putra Mahkota kerajaan Abu Dhabi Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan juga adalah kolaberator terbesar dalam pembikinan vaksin sejak sekian lama. Niat mereka adalah murni, mahu menjadikan anak-anak dunia ini selamat dari penyakit berjangkit yang boleh dicegah melalui vaksin. Begitu juga dengan pembikinan vaksin COVID-19. Bayangkan jika tiada vaksin yang boleh mencegah wabak penyakit, jutaan manusia akan mati setiap tahun. Dengan sendirinya akan pupuslah manusia atas muka bumi. Vaksin bukannya penyebab pupusnya manusia, tetapi ketiadaan vaksin itulah puncanya. Doktrin songsang yang dibawa oleh golongan antivaksin itu yang sebenarnya menempah manusia ke arah kebinasaan. Itulah perancangan yang mereka lakukan tanpa disedari.
Sebenarnya disebalik kejayaan pembuatan vaksin, orang Islam banyak memainkan peranan. Tahniah dan syabas kepada dua orang pakar muslim kelahiran Turki dan berhijrah ke Jerman, Dr Ugur Sahin dan Dr Oezlem Tuereci - merekalah yang menemui vaksin COVID-19.
Suhazeli Abdullah
13.11.2020
Kuala Berang
Ulasan