Bantuan RM250k Kepada ADUN Umno, Bukti Usaha Perkukuh MN


Oleh : Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU- Kerajaan Terengganu yang ditadbir PAS membuktikan kesungguhan dalam mempertahan dan memperkukuh Muafakat Nasional (MN) dengan memberikan peruntukan sebanyak RM250,000 kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Umno di negeri ini.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, peruntukan tersebut telah diluluskan dalam Belanjawan Terengganu 2021 yang dibahaskan di Sidang DUN pada 23 hingga 25 November yang lalu.

“Ini untuk menggambarkan Muafakat Nasional, dalam Bajet 2021, kita (kerajaan) telah meluluskan RM250 ribu kepada ADUN Bukan Kerajaan. Ini satu komitmen yang sangat tinggi daripada kerajaan sebenarnya,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam lintas langsung Bicara Khas Pasca Pembentangan Belanjawan Terengganu 2021 di Manis FM, pada semalam.

Ujar beliau, penglibatan ADUN dalam Sidang DUN sangat baik dan persidangan berjalan dengan lancar serta berjaya mewujudkan suasana demokrasi dalam persidangan bajet 2021.

“Sebenarnya ini kali pertama saya memberi peluang yang lebih ramai di kalangan ADUN Bukan Kerajaan yang mana tujuh orang daripada bukan ADUN dan lima orang daripada pihak kerajaan.

“Ini nak menggambarkan suasana demokrasi yang saya sebut iaitu suasana Muafakat Nasional . jadi itulah yang berlaku,” ujarnya lagi.

Belanjawan Terengganu 2021, kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM1.375 bilion.

Ulasan