PAS, Umno Diberi Ingatan


KUALA TERENGGANU - Dewan Pemuda PAS Terengganu mengingatkan agar kepimpinan kedua belah parti dalam Muafakat Nasional (MN) agar bersama menjaga perpaduan sedia ada. 

Ketuanya Nasir Abd Razak berkata, ikatan persaudaraan sesama Islam dalam 'tolong menolong' untuk kebaikan kebajikan menjadi sukar sekiranya berlaku perpecahan. 

"saya suka ingatkan sesama pimpinan samada dari pihak PAS, mahupun Umno supaya sama-sama menjaga muafakat yang telah dibentuk ini dengan baik. 

"Sangat mudah untuk memutuskan persaudaraan, namun untuk mengikat kembali tersangatlah susah dan payah," tegasnya. 

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Umno Terengganu yang masih berhasrat untuk menentang PAS di semua kawasan DUN dan Parlimen pada pilihan raya umum (PRU) akan datang. 

Menurutnya, hampir kesemua maklumbalas yang diterima beliau, seakan kecewa, dan tidak kurang yang marah, dia apabila membaca tajuk berita tersebut.

"jangan baca tajuk sahaja, habiskan pembacaan.

"Secara peribadi, saya memahami hasrat kepimpinan Umno Terengganu tersebut memandangkan teras politik semasa Terengganu dan Kelantan adalah PAS-Umno

"Namun, sudah pasti perlawanan akan menatijahkan menang dan kalah. Juga mudah menyebabkan berlaku pergeseran walaupun sebagai ‘persahabatan’. Umpama bermain bola, tersiku dan tolak menolak adalah perkara yang tidak boleh dielakkan," tambah beliau. 

Justeru, beliau menyambut baik ketetapan apabila Umno Terengganu menyatakan, mereka akur dengan apa jua keputusan pucuk pimpinan berhubung agihan kerusi dengan rakan komponen MN, PAS. 

"sudah tentu saya menyambut baik keputusan tersebut bagi semua memastikan perundingan lebih mudah dilaksanakan.

" Apatah lagi, matlamat sebenar Muafakat Nasional diwujudkan bukan sekadar cerita satu atau dua buah negeri, tetapi muafakat tersebut mahu menjaga dan mentadbir sebuah negara bagi memastikan penguasaan politik demi kesejahteraan rakyat pelbagai kaum", ujar beliau


Ulasan