Almarhum Seorang Yang Tegas, Cakna Aduan Rakyat


KUALA TERENGGANU - Almarhum Tun Dr Mohamed Salleh Abas sentiasa tegas dalam setiap urusan terutama dalam mengambil tindakan terhadap pegawai kerajaan negeri yang terlibat dalam salah laku dan cakna setiap aduan rakyat. 

Mantan Ahli Parlimen Kuala Terengganu Mohd Abdul Wahid Endut, 64, berkata PAS mengambil masa yang agak lama untuk memujuk Allahyarham bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri Jerteh pada Pilihan Raya Umum 1999.

"Namun, kita katakan khidmatnya diperlukan kerana pengalaman yang sangat luas dalam bidang perundangan dan ia boleh dimanfaatkan dalam pentadbiran negeri. Akhirnya, Allahyarham bersetuju untuk bertanding dan menang dalam pilihan raya itu.

"Sepanjang saya berkhidmat dalam barisan Exco bersama Allahyarham ketika itu, beliau bagaikan ayah dan banyak menasihatkan kami agar menjalankan tugas sebagai 'wakil rakyat muda' yang jujur dan amanah," katanya.

Mohd Abdul Wahid berkata walaupun pernah berdepan ujian getir dipecat sebagai Ketua Hakim Negara, Allahyarham tidak pernah berkeluh kesah mengenai perkara itu malah sentiasa merendah hati dan tidak kekok bergaul bersama orang kampung.

"Pernah sekali, ketika berada di pentas ceramah di Rusila, Marang saya terlihat beliau sedang khusyuk mendengar ceramah dan hanya duduk di atas pasir dengan beralaskan surat khabar bersama orang ramai. Saya maklumkan perkara itu kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Saya turun ke bawah dan mempelawa beliau untuk naik ke pentas seperti mana permintaan Abdul Hadi, namun beliau menolak lembut dengan alasan beliau datang untuk mendengar ceramah, kalau naik ke pentas nanti kena beri ceramah," kata Mohd Abdul Wahid yang sentiasa berhubung dengan Allahyarham walaupun selepas Allahyarham tidak lagi bergiat aktif dalam bidang politik.

Mohamed Salleh, 91, yang meninggal dunia kira-kira pukul 3.20 pagi tadi di Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini akibat pneumonia merupakan Pengerusi Jawatankuasa Hisbah dan Tugas-Tugas Khas ketika PAS memerintah Terengganu dari 1999 hingga 2004.

Ulasan