Darurat Tidak Halang Persiapan PRU15


Oleh : Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU – Walaupun Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 tidak akan di adakan pada masa yang terdekat selama mana pengistiharan darurat ini berjalan tak bermakna hanya berdiam diri sahaja.

Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Negeri Terengganu, Dato’ Haji Yahaya Ali berkata, petugas parti perlu fokus pada tanggungjawab yang mana parti PAS yang masih memerintah negeri ini.

“Tanggungjawab kita (ialah) bagaimana kita boleh berusaha dan memastikan kerajaan yang dipegang ini akan terus kita kuasai pada masa akan datang.

“Bila kita menjadi kerajaan ia adalah amanah daripada Allah. Kita mesti meminta pertolongan daripada Allah untuk dikurniakan kemenangan maka tanggungjawab itulah berusaha sebaik mungkin bagaimana kita nak mempertahankan kemenangan yang ada,” jelasnya.

Beliau yang juga Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu berkata demikian ketika berucap dalam merasmikan program Perasmian serentak Mesyuarat Agung PAS Cawangan-cawangan kawasan Besut di Kota Putera Square, Kampung Raja pada 12 Januari yang lalu.


Menurutnya, kemenangan yang dicapai pada hari ini bukan untuk kepimpinan sahaja tetapi ia adalah tanggungjawab yang perlu dipikul bersama.

“Tanggungjawab yang memerlukan pengorbangan, kesabaran, kebijaksanaan kita bagaimana nak menguruskan dan mengisi kemenangan ini kali ke tiga yang mana kita hendaklah mempertahankannya.

“Maka jadikanlah kemenangan yang ada ini sebagai satu kemenangan yang mana pada kita memikul tanggungjawab dengan penuh kesabaran  dan keinsafan,” ujarnya.

Dato Yahaya menambah, setiap kelemahan yang ada dalam parti hendaklah ditangani dengan sebaik-baiknya tanpa merosakkannya.

Justeru itu, beliau yakin PAS kawasan Besut mampu menjadi kawasan yang terbaik pada masa akan datang dengan kepimpinan yang ada.

Ulasan