- Selesaikan Covid-19 dan Banjir Sebelum Bubar Parlimen
MARANG - PAS menegaskan, akan memperkukuh dan mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN) serta berbincang dengan parti-parti politik agar Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak diadakan dalam tempoh terdekat berikutan peningkatan kes Covid-19, selain bencana banjir di beberapa negeri.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, kerajaan perlu menyelesaikan
pandemik Covid-19 terlebih dahulu sebelum membubarkan Parlimen dan memberi
laluan kepada PRU15 bagi menjamin kesejahteraan rakyat.
Menurutnya, tindakan pihak tertentu yang mendesak supaya menyegerakan PRU15
adalah tidak wajar di saat negara sedang berdepan dengan ‘dua bencana’
tersebut.
“Biar selesai Covid-19 dan banjir dulu, takkan (buat PRU) masa banjir dan
Covid-19 tengah merebak lagi. Kita kena bincang dengan KKM (Kementerian
Kesihatan Malaysia) dan pihak berkenaan.
“Kita tidak mahu membebankan rakyat,” katanya mengulas desakan pihak tertentu
supaya PRU15 disegerakan ketika ditemui selepas menyampaikan kuliah dhuha
secara dalam talian di Masjid Rusila di sini pada Jumaat, 8 Januari.
Ditanya tentang gesaan Tun Dr Mahathir Mohamad supaya Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri berikutan kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak kukuh dan pergeseran antara UMNO dan Bersatu, Abdul Hadi bertegas untuk menguatkan PN.
Ahli Parlimen Marang itu berkata, PN yang dibina bersama UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak akan roboh sebaliknya akan terus diperkukuhkan dan dipertahankan.
“Kita mahu kukuhkan lagi PN dan UMNO belum membuat keputusan muktamad. Ia tidak boleh melalui bahagian dan ahli biasa, mereka ada MT (Majlis Tertinggi), ada biro politik dan ada perhimpunan agung dengan baik insyaAllah,” katanya.
Ulasan