PAS Terengganu Sokong Proklamasi Darurat - Senator Dato’ Husain


Oleh : KAM

KUALA NERUS - PAS Terengganu menyokong penuh proklamasi darurat yang diistiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pesuruhjayanya, Senator Dato’ Husain Awang berkata, proklamasi darurat yang diistiharkan itu disokong demi menjaga kesihatan dan keselamatan rakyat di Malaysia.

Ini kerana, katanya setelah setahun negara dilanda wabak pandemik Covid-19 yang tiada kesudahan sejak dikesan awal tahun lalu.

Menurutnya, penderitaan yang dialami orang rakyat bukan sahaja melibatkan kesihatan terjejas juga ekonomi dan keselamatan.

“Kita (PAS) menyokonglah proklamasi darurat itu kerana kepentingan dan kesihatan rakyat untuk meredakan pandemik Covid-19 itu. 

“Penderitaan yang dihadapi oleh rakyat telah setahun dan sekarang ini makin teruk, tiada penghujungnya. 

“(Ini) Jalan penyelesaian untuk memberi kuasa kepada kerajaan hari ini lebih tegas, maka keperluan darurat ini. Dengan tindakan darurat ini, kerajaan boleh tumpukan kepada masalah Covid-19,” ujarnya ketika ditemui di Kompleks Tarbiyyah At-Taqwa (Komtaq) PAS Kawasan Kuala Nerus, hari ini.

Sehubungan itu, katanya kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, mengenai kebimbangan tentang ketidakmampuan hospital awam sedia ada bagi menangani kes Covid-19 jika terus meningkat.

Sebab itu, kata Dato’ Husain, apabila darurat dilaksanakan kerajaan boleh menggunakan bangunan-bangunan lain termasuk hospital swasta.

“Cuba tengok kes (Covid) pada 12 Januari lalu, 3,309 kes sehari dilaporkan dan yang tertinggi. Jumlah keseluruhan kes positif di negara ini telah mencecah 144,518 kes,” jelasnya.

Beliau yang juga mantan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu menafikan, pengistiharan darurat itu kerana kerajaan Perikatan Nasional (PN) takutkan pilihan raya.

“Kerajaan laksanakan darurat ini bagi menjuruskan ke arah memberikan suatu ketenangan kepada rakyat. Ini penting, supaya rakyat tidak lagi ‘serabut’ dengan perebutan kuasa orang politik tertentu dan sebagainya.

“Sekarang ini bukan masalah kita takut kepada pilihan raya. Apa yang kita bimbang, disebabkan berlaku pilihan raya itu merebaknya Covid-19. 

“Wabak Covid-19 ini akan lebih cepat merebak di kalangan rakyat, yang menyebabkan boleh melumpuhkan semua jentera kerajaan,” tegasnya. 

Menurutnya, akibat pandemik itu keselamatan negara, kesihatan rakyat terjejas, sektor ekonomi jatuh, pembelajaran terhenti, pendidikan dan semua itu akan terkesan.

Ulasan