KUALA TERENGGANU – Pesuruhjaya PAS Terengganu, Senator Dato’ Husain Awang, hari ini disahkan sembuh (negatif) Covid-19 dan telah dibenarkan keluar dari rawatan di Wad Hospital Setiu.
Sehubungan itu, beliau merakamkan ucapan setinggi terima kasih kepada semua pegawai perubahan di Hospital Setiu yang telah memberikan rawatan terbaik.
“Saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua pegawai perubatan di Hospital Setiu ini, terutama kepada para doktor, jururawat dan kakitangan berkaitan yang telah memberi rawatan yang begitu rapi dan terbaik kepada saya dan sahabat-sahabat yang berada di dalam wad berkenaan.
“Sebenarnya, saya tidak mengalami apa-apa gejala (Covid) ini tetapi disahkan positif. Apabila saya tanya kepada pegawai perubatan terbabit, jawapannya memang ada kes macam itu.
“Mereka (pengidap) tidak ada gejala, sihat tetapi (ujian) positif. Di dalam wad bersama saya juga terdapat beberapa orang yang sama tiada gejala tetapi disahkan positif Covid-19,” ujarnya ketika dihubungi hari ini.
Beliau sebelum itu, menjalani rawatan dan kuarantin di hospital berkenaan setelah disahkan positif Covid-19 tetapi tidak bergejala pada 21 Januari lalu.
Katanya, setelah berada di Wad Hospital Setiu, selama beberapa hari lalu bermula dari 21 Januari hingga keluar tengahari ini 28 Januari.
“Selepas 10 hari (saya) buat ‘swab test’ pada 18 Januari lalu. Keputusan itu, saya didapati positif, selepas seminggu itu saya dimasukkan ke wad (Hospital Covid), hari ini saya dilepaskan dan bebas Covid-19,” jelasnya.
Justeru, Dato’ Husain mengingatkan orang ramai di luar sana yang masih bebas agar lebih berhati-hati kerana hakikatnya masih belum bebas dari wabak Covid-19 ini.
“Jadi kepada saudara-saudara dan sahabat sekalian, semua (orang ramai) sekali diminta berhati-hati perkara (wabak) ini dan janganlah bila tidak bergejala itu, dianggap sebagai benar-benar bebas.
“Sebenarnya, kita (rakyat) masih belum bebas (Covid-19) pada hakikatnya, melainkan telah disahkan yang kita (individu) disahkan negatif.
“Terima kasih juga kepada sahabat-sahabat dan orang ramai yang mendoakan kesihatan untuk saya. Alhamdulillah, Allah SWT telah memberikan kesembuhan dan (saya) akan terus menyambung tugas (amanah) ini, Insya’Allah,” tegasnya.
Ulasan