PKP 2.0 Gerak Kerja Muslimat PAS Tidak Terjejas


Oleh ; Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU - Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang bermula pada hari ini hingga 4 Februari depan tidak menjejaskan gerak kerja dakwah Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu (DMPNT).

Ketuanya, To' Puan Hajah Zarani Othman berkata, gerak kerja dakwah ini sangat penting dan harus diteruskan walau apa cara sekalipun sedang berlaku di Terengganu.

"Kesempatan yang ada dengan norma baharu kita manfaatkan media sosial untuk merapatkan soff, menyatukan fikrah dan menyebarkan dakwah,” ujarnya ketika diminta mengulas mengenai PKP 2.0 yang dilaksanakan bermula pada hari ini, 22 Januari.

Namun, kata beliau tetap menghormati keputusan kerajaan Malaysia yang mengenakan PKP 2.0 bagi tujuan membendung wabak Covid-19 daripada merebak demi menjaga kemaslahatan rakyat. 

Menurutnya, dalam kesibukkan diri mengurus kerjaya dan urusan kehidupan manusia kadang-kala alpa menyiapkan diri dengan ilmu.

"Mungkin sebelum ini kita sibuk dengan kerjaya dan urusan hidup sehingga terlupa untuk menyiapkan diri dengan ilmu, lupa untuk mendekatkan diri kita dengan Allah dan mungkin selama ini kita kurang menghargai keluarga serta orang disekeliling.

"Jadi ambiklah kesempatan dengan masa yang ada ini untuk kita memuhasabah diri kita dan menggunakan peluang serta ruang yang ada ini dengan menambahkan pembacaan Al-Quran dan buku-buku ilmiah.

"Mencari ilmu melalui pelbagai medium yang ada, merapatkan kembali hubungan bersama-sama keluarga tercinta dengan solat berjemaah, makan, bertanam, beriadah bersama-sama dan lain-lain,” jelasnya.

Justeru itu, beliau menyeru kepada seluruh rakyat di negeri Terengganu agar sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan pihak berkuasa.

“Sesungguhnya setiap yang berlaku adalah ketentuan Allah SWT dan ada hikmah sebaliknya serta sentiasa berfikir positif.

“Kita jaga diri kita dan keluarga serta patuhilah SOP, sebaiknya duduk di rumah sahaja,” ujarnya.

Ulasan