PRU15 : PRU Alaf Baharu


Oleh : Nurul Farhana Ashikin Mustapa Kamal

BESUT – Semua entiti di dalam Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang dilantik menjadi jentera Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 perlu bersiap sedia dengan situasi kempen alaf baharu.

Setiausaha Jabatan Pilihan Raya kawasan Besut, Cikgu Salahuddin Jaafar berharap dengan pelancaran tersebut, para petugas mampu melipat gandakan usaha walaupun tiada lagi kempen secara bersemuka.

“Dengan tidak lagi kita naik ke setiap rumah pengundi, kempen kita banyak menerusi media sosial, inilah budaya norma baharu kempen,” katanya.

Beliau yang juga Pengarah Majlis Tindakan DUN Hulu Besut berkata demikian ketika berucap di Majlis Pelancaran Jentera PRU15 PAS DUN Hulu Besut bertempat di Dewan Nurul Ehsan di Felda Tenang, di sini pada 9 Januari lalu.

Sementara itu, Setiausaha Pilihan Raya PAS Negeri Terengganu, Aminuddin Umat menekankan bahawa bilik gerakan perlu diaktifkan dengan segera agar kerja-kerja culaan, aktiviti serta mesyuarat dapat dilakukan di situ.

“Kerja-kerja ke arah pilihan raya mestilah digerakkan secara bersungguh-sungguh dan situasi kempen PRU15 kali ini sangat berbeza daripada PRU sebelum ini dari segi kempennya,” tambahnya.

Ulasan