Ustaz Husain Imamkan Solat Subuh


 KUALA TERENGGANU - Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Ustaz Husain Awang telah mengimamkan solat subuh berjamaah, bersama para pesakit lain di hospital Setiu, pagi ini.

Ahli Jawatankuasa Pemuda PAS Kuala Nerus, Ustaz Jailani Mamat dalam ciapan laman sosialnya berkata, Ustaz Husain juga sempat menyampaikan tazkirah.

“selepas solat subuh Ustaz sempat menyampaikan tazkirah kepada para jamaah, antara hadis yang dibaca oleh Alfadhil Tuan Guru ialah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar R.Anhuma beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

لَمْ تَظْهَرِ الْفَاحِشَةُ فِي قَوْمٍ قَطُّ حَتَّى يُعْلِنُوا بِهَا إِلاَّ فَشَا فِيهِمُ الطَّاعُونُ وَالأَوْجَاعُ الَّتِي لَمْ تَكُنْ مَضَتْ فِي أَسْلاَفِهِمُ الَّذِينَ مَضَوْا

“yang bemaksud, tidaklah muncul kejahatan pada sesebuah kaum sehinggalah mereka melakukannya secara terang-terangan melainkan akan merebak dalam kalangan mereka wabak taun serta penyakit-penyakit yang tidak pernah muncul dalam kalangan generasi sebelum mereka,” kata beliau, mengulangi kata-kata Ustaz Husain. 

Ustaz Jailani menambah, antara maksud ‘fahisyah’ (kekejian) termasuklah zina dan mukadimahnya.

“mungkin perzinaan masih lagi dilakukan tertutup,namun mukadimah zina seperti naik motor laki perempuan, dating dan sebagai nya sudah menjadi perkara yang biasa dalam negara kita.

“Peliharalah ahli keluarga kita. Mari lah kita bertaubat kepada Allah dan menjadi agen pencegah perkara yang haram,kerana ia mampu mengangkat bala Allah,” tambah beliau yang merupakan tenaga pengajar Maahad Darul Quran, Rusila.

Semalam, Setiausaha PAS Terengganu Haji Muhyiddin Rashid telah mengesahkan Anggota Dewan Negara itu, telah didapati posiitif jangkitan wabak Covid-19.

“Dukacita dimaklumkan, YB Senator Dato' Ustaz Haji Husain Awang, Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu telah disahkan positif Covid-19 hari ini. 

“Beliau telah ditempatkan di Hospital Setiu untuk rawatan. Bagaimanapun beliau dalam kondisi sihat tanpa sebarang gejala,” katanya pada satu siaran media.

Marilah bersama kita berdoa agar beliau dilindungi Allah serta dikurniakan kesejahteraan dan keafiatan, tambah Haji Muhyiddin.

Ulasan