Antara Anwar Dan Rosmah


 Anwar pernah menjadi orang nombor dua negara. Tetapi Rosmah, walaupun tidak berkuasa secara rasmi, pernah menjadi First Lady of Malaysia (ini yang dia dakwa) iaitu orang nombor satu Malaysia bagi kategori bukan ahli politik. Malah cakapnya kepada PM juga tidak ditolak mentah-mentah.

Anwar sangat jelas dibenci Tun Mahathir kerana permusuhan politik mereka. Rosmah juga tidak disukai Tun, tetapi kerana perangainya. Akibat kebencian ini maka kedua-duanya diturunkan dari jawatan masing-masing. Anwar dipecat dari Umno, Najib pula dikalahkan Tun dalam PRU, sekaligus Rosmah juga kena turun. Tetapi Tun tidak pula membenci Kak Wan.

Rosmah disayangi Najib. Manakala Anwar, dahulu dibenci Najib, mereka saling bermusuhan, saling cuba menjatuhkan. Tetapi kini Anwar mula disayangi Najib (jika menurut dakwaan surat sokongan itu). Sayang yang sungguh bermakna.

Rosmah adalah seorang janda yang dinikahi Najib. Dan, adakah anda tahu yang Anwar juga janda? Bukan janda dalam rumahtangga tetapi dalam politik. Anwar, ialah janda kepada Umno. Janda, biasanya yang banyak pengalaman, diminati orang.

Anwar dilihat rakyat sebagai individu yang menyerabutkan kepala orang dengan karenah politiknya. Dan Rosmah suatu ketika dikatakan menjadi punca kekalahan Najib dalam PRU kerana kebencian rakyat terhadap gelagatnya. 

Walaupun bukan semua tuduhan itu benar, tidak pernah ke mahkamah, tetapi majoriti rakyat percaya Rosmah melakukannya. Berbeza dengan Anwar, walaupun tuduhan itu telah dibuktikan di mahkamah dan beliau telah dijatuhkan hukuman, kemudian memohon dan dikurniakan pengampunan oleh YDPA, bukan ulang bicara bagi membuktikan beliau tidak bersalah, tetapi masih ramai penyokongnya tidak percaya dia bersalah.

Anwar pernah meminta kepada mahkamah dalam perbicaraan liwatnya pada tahun 2011 untuk memberi keterangan membela diri dari dalam kandang tertuduh. Pembelaan ini yang mana akan menyebabkan beliau TIDAK BOLEH disoal balas oleh peguam.

Manakala Rosmah pada 18 Februari baru-baru ini telah memilih untuk memberikan keterangan bersumpah bagi membela dirinya dalam kes rasuah hibrid solar di Sarwak dari kandang saksi yang mana beliau boleh disoal oleh peguam. 

Jelas sifat kejantanan Rosmah lebih terserlah dengan keberaniannya menghadapi pertuduhan ini. Manakala ada jantan yang bagaikan kehilangan sesuatu yang membuatkan kejantanannya pudar.

Mohd Nasir Abdullah

23 Februari 2021

Ulasan