Bukan Kerana 'Tebuk Atap' Itu Yang Pasti......


OLEH WAN NORDIN WAN YAACOB 

PENDEDAHAN bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas mengenai kemelut hubungan antara Tun Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim bukan suatu yang mengejutkan.

Walaupun dikatakan pihak penerbit buku mahu mengambil tindakan Undang-undang kepada pihak yang mengedar (digital) versi asal itu kerana melanggar hak, namun intipati dalam buku itu katanya, namun ia telah banyak terdedah kepada umum.

Mahu tidak mahu akhbar yang pro kepada PH telah pun melaporkan nya sebelum ini walaupun mungkin telah ada yang memadam laporan tersebut.

Banyak juga web yang tidak rasmi membawa cerita ini, entah apa tujuan atau agenda, semuanya bakal tersingkap suatu hari nanti. Penulis pun tidak dapat salinan malah hanya membaca di ruang blog juga beberapa portal lain mengenai apa antara inti yang diperkatakan.

Apapun mengenai buku itu kita tolak ketepi kerana isu perbalahan antara Tun Mahathir Mohamad dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim tidak pernah sunyi dari mainan media.

Bagi penulis, bukan suatu yang mustahil andai Tun Mahathir tidak bersetuju dengan pencalonan Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail atau siapa sahaja nama yang dicadangkan oleh Seri Paduka Baginda sebagai Perdana Menteri interim semasa perletakan jawatan PM pada kemelut isu ini Februari tahun lalu.

Dr Wan Azizah isteri Anwar, maka pada perkiraan Tun Mahathir jika Dr Wan Azizah jadi PM interim, laluan Anwar untuk jadi PM lebih mudah dan terbuka luas.

Bukan mustahil bukan rahsia walaupun nama Wan Azizah sekalipun jika ada kaitan dengan Anwar maka Mahathir tidak akan memberi ruang.

Jika Mahathir ingin terus menjadi PM ketika itu tanpa desakan Anwar untuk peralihan kuasa, kedudukan Mahathir sebenarnya telah kukuh kerana ketika itu dia didukung juga oleh PAS, Umno untuk terus jadi PM hingga PRU15.

Namun kerana percakaran dan tekanan dalaman yang amat kuat ke atas Mahathir khasnya dari kumpulan Anwar yang menguasai PH, maka kerajaan PH jatuh tanpa perlu dijatuhkan oleh pembangkang ketika itu.

Atas sikap lalai dan kemaruk kumpulan Anwar yang mahu boss PKR itu jadi PM, maka kemelut dalaman tidak reda malah terganggu perjalanan pentadbiran 22 bulan PH kerana perbalahan antara dua kelompok angkara kononnya janji peralihan kuasa.

Siapa betul siapa salah antara Tun Mahathir dan Anwar rakyat boleh menilai, namun kedua-dua mereka membawa PH hanya sebagai sebuah kerajaan yang rapuh walaupun memiliki majoriti Parlimen.

Ramai dalam kalangan penyokong PH hingga kini menuduh kononnya kerajaan Perikatan Nasional yang terbentuk hasil tebuk atap, mereka ratibkan isu ini seluasnya hingga ada rakyat yang percaya walaupun hakikatnya tidak perlu tebuk atap tetapi orang dalam rumah sendiri kerana marahkan nyamuk seekor maka mereka membakar kelambu hingga rumah rentung terbakar.

Pendedahan Tommy Thomas ini boleh dibaca sebaiknya untuk dihadam oleh penyokong PH khasnya peminat setia PAN dan PKR.

DAP tidak perlu bekerja keras kini kerana adanya PKR dan PAN khasnya melalukan kerja-kerja 'menyerang' PN khasnya PAS dengan ratiban tohmahan, walaupun sikap rasis DAP juga menyumbang kepada kejatuhan kerajaan PH selain Anwar lebih dekat dengan DAP berbanding Tun Mahathir.

Perlu diingat walaupun kerajaan PN terbina secara tidak sengaja pada Februari tahun lepas, tetapi prestasi antara 22 bulan PH berbanding hampir  setahun PN, ia ibarat langit dan bumi.

Rakyat masih ingat skim e-wallet (RM30) yang kini disebut sinis oleh rakyat sebagai "30 linggek" yang hanya menghina rakyat tatkala rakyat marhaen ketika itu bertarung dengan keadaan ekonomi yang amat berat malah harga minyak murah yang dijanjikan hanya janji kosong.

Banyak ucapan pemimpin kerajaan PH ketika itu yang menyakitkan hati rakyat.

Antaranya meminta rakyat ikat perut kerana kerajaan tiada wang. Berbeza dengan kerajaan PN hari ini yang membantu dalam pelbagai aspek khasnya sejak mula PKP 1.0 lagi.

Kerajaan PN menawarkan bantuan bersasar kepada kelompok B40 dan M40, bantuan kepada peniaga, penjaja, meminta Bank meluluskan moratorium kali pertama semasa PKP 1.0, kemudiannya moratorium berdasar (mengikut kesulitan Kewangan peminjam), moratorium PTPTN, bantuan kepada mangsa banjir, petani, imbuhan kepada Frontliner, i-lestari KWSP dan i-Sinar KWSP.

PH kuat u-turn

Sedangkan di pihak PH sebelum ini, paling jelas sekali kegagalan PH berkisar tentang ketidakupayaannya memenuhi janji pilihan raya, termasuk janji ia akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari selepas berkuasa. 

Ini termasuk menghapuskan undang-undang drakonian dan hutang pinjaman pelajaran serta hutang yang ditanggung peneroka Felda. 

PH juga memungkiri janjinya dengan membenarkan pelantikan politik dalam syarikat berkaitan kerajaan, agensi dan majlis tempatan.

Tidak upaya tangani krisis

Salah satu kelemahan terbesar PH adalah keupayaannya menangani krisis.

Langkahnya memperkenalkan Jawi dalam sukatan pelajaran Bahasa Malaysia ditentang oleh DAP khasnya yang sedia maklum bahawa parti tersebut banyak mempertikai dasar khasnya berkenaan Islam dan Melayu.

Krisis ini berlaku di tengah-tengah tekanan untuk mempercepat pembaharuan dalam bidang pendidikan. Akibat percakaran dalaman itu, Dr Maszlee Malik melepaskan jawatan sebagai Menteri Pendidikan, di mana jawatannya dipangku Mahathir.

Krisis boikot  

Kenyataan Mahathir berhubung konflik India Kashmir serta isu domestik lain juga mencetuskan gesaan memboikot produk Malaysia, ketika Malaysia sedang mempromosikan minyak kelapa sawit di tengah-tengah boikot negara Barat.

Isu aset TH dan khazanah nasional 

Langkah kerajaan PH menjual aset yang dimiliki institusi kerajaan, terutamanya Khazanah Nasional.

Ini termasuk pembelian 16 peratus  saham IHH Healthcare untuk pelaburan RM8.4 bilion oleh Mitsui yang berpangkalan di Jepun. Bekas PM mendakwa nilai aset Khazanah menurun kepada RM73 bilion tahun lalu berbanding RM116 bilion pada 2 tahun sebelum itu.

Kemudiannya disusuli isu penjualan empat hotel milik Tabung Haji yang mencetus kemarahan umat Islam selaku pencarum.

Polisi bercanggah, tidak sepakat 

Pemimpin kerajaan PH juga gagal bertindak berhubung isu utama. Contoh yang paling menyerlah ialah Lynas Malaysia. 

Terdapat percanggahan pendapat yang jelas dalam kalangan anggota Kabinet mengenai sama ada loji nadir bumi harus dibenarkan meneruskan operasi kerana kebimbangan terhadap sisa berbahaya. 

Ia menerima sambungan lesen operasi selama 3 tahun selepas kerajaan persekutuan tumbang pada Februari tahun lalu (ketika PH berkuasa).Begitu juga dalam isu kepentingan Melayu Islam yang menjadi perbalahan antara kumpulan dalam PH.

Pada kemuncaknya bilamana ramai dalam kalangan anggota PH yang secara terbuka menyerang institusi agama, kemudian institusi beraja malah mereka juga tidak segan silu membawa semula idealogi komunis untuk diperjuang dan diiktiraf.

Dalam kesemua insiden ini, rakyat dapat saksikan bagaimana pendirian antara Anwar dan Mahathir yang sebenarnya menjadikan rakyat ketika itu lebih berpihak kepada pendirian Mahathir yang dikatakan lebih berjiwa 'Melayu' berbanding Anwar seorang yang dikatakan dekat dengan kelompok liberal dan pernah dikaitkan hubungan dengan bekas Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Paul Wolfowitz.

Rakyat tidak lupa 

Rakyat pastinya tidak akan boleh melupakan kelemahan Dan kebobrokan pemerintahan 22 bulan PH apatah lagi dengan kemelut hubungan Anwar Ibrahim dan Tun Mahathir.

Pendedahan Tommy Thomas ini sekadar satu lagi pembuktian jelas oleh peguam terkemuka (walaupun diera Tommy jadi Peguam Negara amat banyak kelemahan) ini tentang perang dua nakhoda PH selama ini yang menyebabkan kerajaan PH jatuh.

Tiada istilah tebuk atap atau langkah Sheraton kerana Tun M miliki sokongan padu sebelum beliau melepas jawatan, tetapi percakaran dalaman PH kerana perebutan jawatan PM khasnya hasil tekanan pro Anwar, maka kerajaan PH jatuh.

Molek kiranya pemimpin PH khasnya PAN yang sering meratib soal tebuk atap ini dibaca sehadamnya oleh mereka. Mereka bakar rumah, mereka tuduh orang lain yang bakar. Inilah sikap sebenar PH yang harus diketahui rakyat.

Apakah rakyat mahu kembali bersama kerajaan '30 linggek' yang diketuai Anwar dengan pengaruh sokongan DAP mendominasi, atau kerajaan PN yang dikuasai secara besar oleh Melayu dan bumiputera?

Penulis yakin, Tun Mahathir yang tidak pernah suka kepada Anwar ini tidak akan benarkan kerajaan yang ada Anwar bersama DAP kembali berkuasa.

Ulasan