Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor
Pantas masa berlari , mengepak sayap masa dan meninggalkan kita semua. Hari ini , genap setahun kerajaan PH tersungkur malu setelah 22 bulan memerintah negara setelah memenangi PRU 14 pada 9 Mei 2018. Tempoh 22 bulan terasa sangat mencabar dan merimaskan bagi ummat Islam negara ini namun tersembunyi hikmah yang sangat besar sehingga membawa penyatuan kepada ummat Melayu.
Setahun yang lalu,antara tarikh 20 sehingga 27 Februari 2020, Kita melalui tempoh seminggu yang gawat, percaturan , bidak catur kepeningan, serta intriq dan polemik tentang persaingan kuasa, bergentayangan berita berita palsu dan separa benar dimedsos sehingga masyarakat awam merasa bingung dan keliru. Bermula di Sheraton, gawat di Istana apabila Tun Mahathir meletakkan jawatan sebagai PM seterusnya membawa kepada pembubaran kabinet kerajaan PH. Drama politik menyaksikan usaha mengumpulkan SD ,persaingan siapa paling layak untuk menggalang jawatan PM dan akhirnya berkesudahan dengan pemasyuran TS Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia kelapan.
Avatar PH sehinggalah sosok utama PH mendendangkan lagu kerajaan pintu belakang untuk meletakkan kerajaan baru dikandang orang salah dipandangan masyarakat awam. Mereka tolol atau buat-buat tolol, itu saya tak pasti, Tun M meletakkan jawatan PM,kabinet terbubar ,kudeta tanpa tumpah darah ini berlaku begitu pantas . Tiada istilah masuk pintu belakang kerana mereka sendiri yang merobohkan rumah dan segenap pintu yang ada. Rumah baru terpaksa didirikan untuk menggantikan rumah lama yang runtuh!
Pasca perlantikan PM baru ini , medsos merancak dengan tembakan rambang pemimpin Pan dan PKR,manakala pemimpin Dap agak malu-malu berpencak walaupun kita tahu mereka adalah pencatur utama dalam tim PH .Saya memerhati status dan entri kawan-kawan lama yang hilang kuasa dan harkat sosial dimedsos. Tak mudah bagi mereka rupanya menelan pahatan taqdir , kesedihan yang mendalam namun masih berbau kesombongan terus meratib kerajaan pintu belakang dan pelbagai penistaan kepada PAS terutamanya .
Kejatuhan yang paling perih dan tak terduga , sekelip mata mereka hilang keistimewaan sebagai Menteri dan Timbalan Menteri, tiada lagi kawalan keselamatan dan sambutan protokol buat mereka ,malah dijeling rakyat jembel seperti anjing buruk kepala. Pedih dan terasa sakit apabila diejek tak sempat merasa duit pencen,diseranah warga netizen sesedap rasa sebagai acara balas dendam akibat sikap mereka dahulunya yang meninggi diri , membusung dada.
Pimpinan PAN, PKR sewajarnya berterimakasih kepada Presiden PAS yang menasihati ahli-ahli agar tidak " menganjing" atau mentertawakan orang lain akibat kejatuhan kerajaan PH. Malah Presiden PAS mengeluarkan arahan agar tiada himpunan atas nama meraikan kejayaan merubah pemerintahan dengan hasrat agar tanah watan ini dalam keadaan tenang dan politik yang matang . Kontradik dengan hasutan halus pemimpin yang hilang kuasa, ada yang menyeru untuk berhimpun membantah kerajaan baru, ada yang galak untuk mengadakan jelajah rakyat,malah ada yang menangis tak berlagu akibat hilang jawatan.
Sebab itulah kata orang tua, kena beringat saat diatas , bila memandang bintang tinggi maka jangan dilupa rumput dibumi kata kumpulan AMUK, jangan sombong dan sembarangan tingkah,kesannya tersangat sakit bila tersadung dan terjatuh dibawah. Ada pak Menteri dulu memperlekehkan kuasa media sosial tapi bila hilang jawatan lagaknya seperti cytro kelas A, ada yang meloncat loncat minta PAS melaksanakan hukum Hudud, mengharamkan arak, menghapuskan PTPTN, menghapuskan tol, menunaikan itu dan ini sedangkan sebelum ini mereka telah diberikan kuasa. Rupanya hilang kuasa menjadikan mereka pulih semula ingatan dan sangat efektif sebagai pembangkang.
Kesombongan dan nilai arogansi ini bukan sahaja dijiwa pak Menteri atau Timbalan,bahkan kepada pegawai-pegawai lantikan politik kerajaan PH. Tempoh 22 bulan ini menyebabkan kita mengenal watak manusia dipuncak kuasa. Teman-teman " so called " ahli NGO Islam yang berada di Putrajaya agak rakus memotong nama asatizah siapa yang boleh bersiaran di media perdana ,malah diperingkat negeri menghalang asatizah tertentu daripada menyampaikan kuliah-kuliah di masjid surau. Lihat sahaja kecoh isu masjid surau di Kedah dan Perak yang sebelum itu agak bebas aktiviti kuliah masjid dan surau, namun suram dibawah kerajaan PH dengan usaha menyekat asatizah yang berseberangan idea dengan kerajaan.
kadang segenggam kuasa menjadikan kita alpa dan tak ingin mengalah, secubit kuasa menjadikan kita maha sombong . Memandang orang lain sebelah mata dan rasa tersanjung.
Taqdir telah tercatat, PH adalah kerajaan suku penggal yang gagal. Hutang negara meningkat, salahurus yang agak tenat terutama aset umat Islam, polarisasi kaum yang meruncing, perebutan kuasa yang tak berkesudahan sehinggalah PM meletakkan jawatan. Berantakan dan hilang rentak !.
Saya ingin mengesyorkan pada teman-temanku yang hilang kuasa terutama daripada PAN dan PKR untuk bertenang dan melihat kedalam diri,jangan seronok sangat meratib " pengkhianat" kerana kalian pernah melanggah ikrar baiah dan melarikan kerusi PAS pada tahun 2015 dahulu, juga kalian juga yang mempopularkan idea 16 September untuk merubah kerajaan ditengah jalan. Jangan kalian menjadi singkat ingatan kerana karma itu akan menghujam nasib kalian sebagai ikrar yang dilafazkan sebagai calon PAS dalam pilihanraya. Banyakkan membaca al Quran,berpuasa sunat, berzikir, melazimi bangun malam, menziarahi kematian dan solat jenazah , insyaallah jiwa akan kukuh dan tenang. Cuma setelah hampir setahun,rasanya ramai pimpinan PH seperti Dr Mujahid meluahkan rasa kesal pada Dr Mahathir sebagai punca kejatuhan mereka. Mereka akhirnya faham setelah hampir setahun meratib tentang kerajaan tebuk atap.
Kepada kerajaan PN pula,gunakan masa kalian berkuasa ini untuk menyantuni dan mengayomi rakyat. Rakyat agak susah kerana pandemik yang telah melangkaui setahun ini, permudahkan segala bantuan terhadap rakyat termasuk pengeluaran wang EPF, harmonikan isu-isu polisi pendidikan negara, tegas terhadap maksiat dan kemungkaran seperti isu perjudian yang merobek hati pencinta Islam. Jika PN mampu memberikan khidmat terbaik kepada rakyat,maka PH yang didominasi oleh dap tidak akan bangkit kembali dalam PRU 15 ini .
( Penulis adalah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI )
Ulasan