Gerakan Diingatkan Tidak Cauvinis


KUALA TERENGGANU - PAS memberi ingatan agar Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) yang baru menyertai Perikatan Nasional (PN), tidak amalkan sikap cauvinis. 

Naib Presidennya Ustaz Idris Ahmad berkata, parti itu perlu menghormati Kontrak Sosial yang menjadi asas pembinaan negara ini. 

"Juga mesti memahami dasar-dasar perjuangan pada PAS itu sendiri biar jelas," tegasnya. 

Beliau berkata demikian ketika bersiaran, pada program 'Bicara Politik Semasa' disiarkan secara langsung melaui Harap TV, pada Ahad 14 Februari. 

Mengulas lanjut beliau berkata, PAS tiada masalah untuk bekerjasama dan menerima mana-mana parti politik, asalkan bukan DAP. 

"Punca utama, kerana dalam soal ini PAS cukup mempunyai pengalaman yang banyak.

"tak ada parti yang di dalam Malaysia ini yang PAS tidak pernah berkawan dan tak ada parti pula yang PAS tidak berlawan," katanya.

Justeru, Ustaz Idris berkata, PAS tegas dengan prinsip Islam  dan tidak menjalinkan kerjasama dengan DAP serta parti yang bekerjasama dengan parti tersebut.

"Tapi kena ingat PAS ini berkawan denga siapa sekalipun, berkawan diatas roda putaran Islam.

"Selagi berpusing dengan Islam maka kita terima. Tiada masalah, jangan ganggu kita punya prinsip," ujarnya.

Kata beliau, samada PAS menjalinkan kerjasama dalam bentuk 'taawun' mahupun 'tahaluf', ia tidak akan sesekali berganjak dengan prinsip yang lain. 

"Mungkin ada sudut-sudut yang berbeza (namun) kita mengambil naratif, satu isu secara bersama menyebabkan kita boleh duduk berkawan dengan orang (parti lain).

"Hatta dengan DAP, tapi tidak pernah cair dengan prinsip," tegas beliau.

Kerana tegas berprinsip memperjuangkan Islam maka katanya, PAS tidak melihat kepada kemenangan pilihan raya semata-mata. 

"Kalau baru ini (PRU 14) kita nak menang, kita tak keluar dari Pakatan Rakyat.

"Tapi apabila menyentuh hal-hal yang kita rasakan sudah meganggu kita punya prinsip-prinsip perjuangan, akhirnya kita menolak perkara (kerjasama) tersebut," tegasnya lagi.

Ulasan