Jangan Lupa Perpaduan Kerana Kerusi


Dewan Ulamak PAS Pusat menegaskan agenda perpaduan merupakan agenda besar yang mesti sentiasa menjadi keutamaan dalam perjuangan menyelamatkan negara bagi membina kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat sebagaimana yang sedang berlangsung sekarang menerusi jalinan Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional. 

2. Kenyataan ini adalah sebagai satu respon jawapan kepada kenyataan mana-mana pihak yang cuba mengheret  pimpinan parti PAS, UMNO dan BERSATU supaya melupakan perpaduan dan mencetuskan perselisihan yang  membentuk perpecahan. 

3. Perpaduan nasional di negara ini mestilah dengan memastikan umat Islam Melayu disatukan terlebih dahulu dan parti parti dominasi melayu Islam mesti saling bekerjasama dalam membela agenda agama, ummah dan negara. Sebagaimana teori Ibn Khaldun dalam pembinaan negara, kestabilan dalam perpaduan dicapai dengan menyatukan terlebih dahulu kaum yang dominan di tempat tersebut. Ia selaras sebagaimana kefahaman terhadap hadith Rasulullah SAW berkenaan :

الأئمة من قريش

"Pemimpin (dilantik) dari kaum Quraisy (kaum yang dominan)" 

4. Diikuti dengan jalinan kerjasama bersama parti-parti bukan melayu dan non-muslim yang tidak ekstrim, yang boleh menerima agenda perpaduan ummah bagi mengukuhkan lagi keharmonian sejagat ke atas masyarakat berbilang kaum yang sedia ada di negara ini. 

5. Dalam kepelbagaian wujudkan cabaran yang boleh menyebabkan kepada perpecahan. Namun ia dapat diselesaikan dengan semangat kekitaan sebagaimana kepelbagaian etnik diikat dengan etnisiti. Di sinilah timbullah kunci fokus kepada kebersamaan dan berlapang dada dalam perkara yang berbeza. 

6. Perpaduan yang diseru oleh Islam tidak hanya sekadar dengan "siapa" tetapi ia mestilah atas dasar "apa". Disebabkan itu kita tidak boleh memaksa untuk hanya berkawan dengan kita dalam masa yang sama memusuhi apa yang kita musuhi. 

Firman Allah SWT :

وتعاونوا على البر والتقوى

Maksudnya :

"Dan hendaklah saling bantu membantu atas dasar kebajikan dan ketaqwaan"- Surah al Maidah : 2

7. Perpaduan sekarang ini yang didominasi oleh PAS, UMNO dan BERSATU mestilah menjadikan kunci persefahaman menerusi meja rundingan rasmi dalam berbincang dan mencapai sesuatu keputusan kebersamaan. Jangan sampai berbalah disebabkan perebutan kerusi yang akhirnya hanya menguntungkan musuh yang sememangnya menantikan perpecahan dalam perpaduan ini. 

8. DUPP menegaskan bahawa semua pihak mestilah memperkukuh dan menjamin kestabilan menerusi perpaduan ummah yang telah terbentuk ini. Perbezaan yang ada kalangan parti dalam kerajaan Perikatan Nasional mampu diketepikan dengan memberikan lebih fokus terhadap hal yang disepakati bersama iaitu kepentingan Islam, ummah dan negara. 

9. Jangan dilupakan perpaduan kerana perebutan kerusi tanpa sikap persefahaman dan saling memahami hanya akan membuka ruang kepada pihak lawan yang telah terbukti membawa kerosakan dan kemudaratan sewaktu mereka memerintah negara walau selama 22 bulan sebelum ini. 

Firman Allah SWT :

(وَأَطِیعُوا۟ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَلَا تَنَـٰزَعُوا۟ فَتَفۡشَلُوا۟ وَتَذۡهَبَ رِیحُكُمۡۖ وَٱصۡبِرُوۤا۟ۚ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلصَّـٰبِرِینَ)

Maksudnya :

Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar. - [Surah Al-Anfal 46]


Ulamak Perteguh Muafakat

Islam Memperkukuh Perpaduan

YB USTAZ MOHD NOR HAMZAH*

Ketua Penerangan

Dewan Ulamak PAS Pusat


Ulasan