Oleh : Adli Mohamad
DUNGUN - Keberadaan mereka sangat disenangi dan dihargai kerana masyarakat Cina di negeri ini menerima serta mengamalkan budaya orang Melayu, makan nasi lauk ‘singgang’ dan budu.
Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Bukit Besi, Haji Ghazali Sulaiman berkata, PAS sentiasa cakna golongan minoriti itu yang telah menjadi anggota kejiranan sekian lama.
“Sentiasa kita santuni mereka, terutamanya menjelang sambutan Tahun Baru Cina, diberikan 'angpau' dan dihadiahkan limau sebagai tanda prihatin,
“mereka dapat bergaul mesra dengan masyarakat kampung sehingga mewujudkan suasana yang sangat harmoni,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyantuni dan menyampaikan sumbangan kepada kaum berkenaan, di sini, pada Selasa, 9 Februari.
Katanya, sumbangan yang disampaikan itu merupakan pemberian sebagai tanda prihatin daripada Ahli Parlimen Dungun, Ustaz Wan Hasaan Mohd Ramli dan juga Lajnah Perpaduan Nasional PAS Kawasan Dungun.
Tambah Ghazali keberadaan mereka disini secara tidak lansung turut menyumbang kepada silang budaya serta variasinya yang tersendiri.
Seorang penduduk kaum Tiong Hua, Chiong Tong Hing berkata sambutan Tahun Baru Cina bagi dirinya tidak sebagaimana kelazimannya akan pulang ke Kemaman untuk bersama saudara mara meraikannya.
“Dalam keadaan sekarang ketika wabak pendemik tengah berleluasa saya lebih selesa untuk memilih berada di sini. Tak apalah tak balik untuk makan besar, sambut kat sini pun tidak jadi masalah bersama masyarakat Melayu yang cukup prihatin.
“Tambahan pula tidak boleh kemana-mana, walau diberi kebenaran merentas daerah saya tetap memilih untuk berada di sini walau bersendirian tanpa keluarga untuk meraikannya,” katanya.
Ulasan