Oeh : Rohayati Ripin
KUALA TERENGGANU – 'Muslimat berhijab' pada hari ini hendaklah menutup aurat dengan sempurna dan menjaga SOP berpakaian yang ditetapkan oleh Allah SWT.
Ketua Muslimat PAS negeri Terengganu, To’ Puan Hajah Zarani Othman berkata, ia adalah satu kewajipan sebagai tanda taat dan cinta kepada Allah, Rasul dan agamanya.
“Dengan berhijab seorang wanita itu nampak lebih cantik, manis dan lebih lembut keperibadiannya sesuai sebagai muslimat sejati.
“Di samping dapat menjaga si pemakainya daripada gangguan dalam dalaman dan luaran. Biasalah bagi kita, benda-benda yang baik dan cantik kan selalu ditutup,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai program Hijab Day, pada hari ini.
Katanya, saban tahun pada tanggal 1 Februari seluruh dunia menyambut Hari Hijab Sedunia bermula tahun 2013 cetusan idea daripada anak muda wanita yang bernama Najma Khan.
“Ia bertujuan menyedarkan masyarakat bahawa setiap agama ada tuntutan yang mesti dilaksanakan dan ianya mestilah dihormati oleh semua untuk kesejahteraan kehidupan di dunia,” katanya.
Justeru itu, beliau merakamkan ucapan tahniah kepada Nisa’ Terengganu, ADUN Wanita dan NGO Wanita Terengganu yang bertungkus lumus dengan menyediakan pelbagai program dan tahun ini masuk tahun ketiga ‘Hijab Day’ diadakan.
“Untuk kebahagiaan hidup kita di dunia dan akhirat. Sempurnakan hijab mu wahai wanita!!!,” tegas Zarani.
Ulasan