KUALA TERENGGANU - Pembelajaran secara fizikal Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) telah bermula di Negeri Terengganu semalam tetapi pihak pengurusan tidak memaksa pelajarnya untuk hadir.
Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (DUN), Ustaz Kamal Ali berkata, semuanya terserah kepada budi bicara ibu bapa, sama ada mahu atau sebaliknya.
Menurutnya, tidak dapat nafikan ada diantara mereka yang merasakan, perlu menunggu sehinggalah Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) berakhir.
"Maksudnya mereka tidak menghantar anak mereka untuk memulakan persekolahan secara bersemuka, tapi bilangannya sangatlah sedikit di setiap PASTI," jelasnya ketika ditemui di Pasti Nurul Hidayah, Bukit Bayas pada 7 Februari.
Beliau yang juga Penyelidik Pejabat Menteri Besar Terengganu itu, meninjau Tata Cara Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) di semua Institusi Pendidikan Pra-Sekolah terbabit.
Ustaz Kamal turut mengingatkan supaya semua guru mengambil perhatian dan tidak berkompromi dengan sebarang perlanggaaran peraturan yang telah ditetapkan.
"Kita nak pelajar-pelajar dapat belajar dengan SOP ini secara berterusan, kita tidak mahu selepas berlaku operasi beberapa hari datang perkara yang tidak diingini," ujarnya.
Katanya lagi, penambahbaikan perlu dibuat kerana kanak-kana perlu sentiasa diingatkan dan dikawal.
"Maklum sajalah, sifat kanak-kanak kadang-kadang duduk dekat dia nak buat sesuatu yang macam sebelum daripada berlakunya Covid-19," tambahnya.
Ulasan