Penyerang PM 'Pelampau'


Kelebihan dan kebebasan menggunakan teknologi maklumat khususnya media sosial perlu dimanfaatkan untuk meninggikan kecekapan dan kemudahan urusan kehidupan seharian. Bukan melampiaskan kemarahan atau kata-kata buruk yang hanya menyerlah keperibadian dan merendahkan nilai diri sendiri.

2.    Tidak bersetuju atau menolak mana-mana individu pemimpin adalah hak demokrasi setiap rakyat, termasuk dalam menyuarakan kritikan atau percanggahan. Tetapi platform dan kaedahnya perlu betul serta dalam had yang wajar tanpa sikap keterlaluan melampau.

Sebarang sentimen mesti dibezakan kedudukannya secara berhemah.

3.    Menyerang Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan pelbagai hamburan kata-kata jelik di media sosial rasmi pemimpin atau institusi tertinggi negara dilihat satu tindakan disengajakan. Kebencian dengan merencahkan keburukan serta memarakkan segala ketidakpuasan hati ternyata diapi-apikan secara berlebihan.

4.    Para pembenci seperti ini hanyalah mereka-mereka yang mementingkan diri dan mempunyai motif, sebab itu tidak tahu meletakkan kritikan ditempatnya. Sedangkan kesopanan dan kesusilaan adalah Rukun Negara yang menunjukkan salah satu penghormatan dan ciri sepatutnya ada pada rakyat Malaysia.

5.    Harus dimalukan, apabila mereka tidak tahu membataskan jari jemari sendiri hingga menampakkan tiadanya Kesetiaan kepada Raja dan Negara yang juga satu dari Rukun Negara. Kerana itu tidak pelik perkara sama dibawa hingga ke platform pemimpin negara lain yang ketara menunjukkan rasa tidak hormat kepada sesiapa sahaja.

6.    Walhal Perdana Menteri telah bertindak berasaskan undang-undang dan segala keputusan adalah secara kolektif yang bukannya peribadi apatah lagi untuk dituduh diktator. Malah, ia mendapat pengesahan atau diperkenankan Yang di-Pertuan Agong selaku payung dan pemerintah tertinggi serta kedaulatan negara.

7.    Demikian itu, perbuatan memburukkan Perdana Menteri selaku pemimpin utama pentadbiran negara, serta membangkitkan unsur menentang perkenan diterimanya bermakna merendahkan kedaulatan negara. Apatah lagi hal tersebut dilakukan terbuka dan diheret hingga ke pihak luar yang boleh menjejaskan nama negara.

8.    Dalam situasi yang sedang melingkari seluruh negara dan dunia akibat pandemik COVID-19 di mana negara telah diisytiharkan di bawah Proklamasi Darurat, tidak harus setiap perkara mahu dilihat sempurna. Keutamaan kita bersama adalah memastikan keselamatan dan kebajikan setiap pihak disantuni dengan sebaiknya.

9.    Beberapa insentif diumumkan kerajaan membuktikan kesungguhan dalam menangani cabaran dihadapi rakyat terutama kalangan B40 dan M40 serta tanpa mengabaikan T20. Pergerakan yang dilihat perlahan perlu dikompromi dan difahami semua bahawa ia terjadi atas kekangan terbatas sedang dihadapi di setiap peringkat.

10.  Hanya kesabaran yang disertai rasa kebersamaan dan keinginan membantu akan membolehkan kita menerima untuk segala urusan berkaitan sedang dipacu memenuhi tujuannya. Malah, jika agenda politik dan kuasa menjadi tekanan kepada pihak tertentu, ingatlah bahawa Perdana Menteri telahpun berjanji. 

11.  Kita semua boleh berpegang kepada pengumuman secara terbuka beliau bahawa PRU akan diadakan sebaik COVID-19 dapat ditangani. Oleh itu mari bersama kita menghadapi cabaran ini dengan menjadi ejen yang memutuskan rantaian berbahaya ini dan bukannya menjadi penyebab keadaan yang lebih parah.

"Islam Memperkukuh Perpaduan"

"Memimpin Negara"


YB SENATOR IR TS KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN

Ketua Pemuda

Dewan Pemuda PAS Malaysia

Ulasan