Perlaksanaan Vaksin COVID-19 Kebangsaan


Pogram imunisasi Kebangsaan COVID-19 akan bermula dalam masa yang terdekat. Dijadualkan untuk fasa pertama akan diberikan pada akhir Februari nanti kepada golongan barisan hadapan. Kempen imunisasi kebangsaan COVID-19  bertema: Lindung Diri, Lindung Semua. Ianya memberi mesej jelas bahawasanya kerajaan bekerja keras dan berikhtiar untuk menyelesaikan dan mengekang wabak COVID-19 melalui vaksin. 

Konsep imunisasi adalah melindungi diri, keluarga dan rakyat dari penyakit-penyakit berjangkit. Apabila kita mengambil vaksin, diri kita akan dilindungi (kemudian bertawakallah kepada Allah) dari wabak penyakit COVID-19 dan akhirnya akan  masyarakat keseluruhannya terlindung dari serangan COVID-19 kerana rantaian penyakit sudah putus. Virus SARS-Cov-2 (COVID-19) itu akan terus merebak jika rumah mereka (badan manusia) masih lagi terus dijangkiti. Jika sekiranya sistem pertahanan badan (antibodi) kita sudah wujud hasil daripada pemberian vaksin itu bermakna virus SARS-Cov-2 tidak akan memasuki badan kita. 

Dengan harapan setiap individu masyarakat dalam negara kita memainkan peranan ini dengan mengambil vaksin COVID-19, insya-Allah ianya akan membentuk satu pertahanan secara kelompok di dalam masyarakat. di mana sudah tidak ada kelompongan individu-individu yang berisiko untuk dijangkiti kerana semuanya telah mempunyai perlindungan melalui vaksin itu.

Besar harapan kerajaan untuk memastikan semua rakyat mendapat manfaat ini. Persediaan dari segi teknikal perlaksanaan sedang giat dijalankan oleh kerajaan.  

Pertama, Taklimat dan latihan sedang giat diberikan kepada anggota kesihatan yang terlibat. Persediaan prasarana juga telah dan sedang dijalankan dengan pembelian peti sejuk beku dan alat alatan perubatan yang diperlukan semasa sesi imunisasi yang dijalankan nanti. Semuanya memerlukan komitmen dari semua pihak sama ada anggota kerajaan dan juga rakyat jelata.

Kedua, adalah  penyediaan pendaftaran yang akan digunakan. Mengambil kira zaman teknologi dan sains ini kerajaan menetapkan pendaftaran vaksin COVID-19 kepada semua adalah melalui aplikasi MySejahtera. Jika terdapat individu yang mempunyai masalah untuk akses secara dalam talian, pendaftaran secara manual juga disediakan.

Kerajaan akan menggunakan sepenuhnya teknologi yang terkini. Seperti mana  semua daripada kita telah menggunakannya iaitu aplikasi MySejahtera. Mengikut maklumat dari Kementerian Kesihatan bahawa setakat ini pendaftaran MySejahtera sudah pun mencapai 27 juta pengguna. Justeru melalui kaedah ini kita akan lebih mudah untuk mencari nama ataupun mengenal pasti siapa yang telah diberi vaksin ataupun sebaliknya. 

Pemberian vaksin ini terbahagi kepada tiga fasa yang utama di mana ianya akan bermula pada akhir Februari nanti:

Fasa 1: Diberikan kepada barisan hadapan seperti petugas kesihatan, polis tentera, rela, bomba dan individu yang terlibat di barisan hadapan. Senarai nama lengkap dalam proses pendaftarannya. Fasa ini berjalan hingga April 2021.  

Fasa 2: Adalah golongan yang berisiko seperti orang yang berumur 60 tahun dan ke atas dan juga mempunyai penyakit-penyakit kronik. Fasa ini akan bermula April hingga Ogos.

Fasa 3: Adalah bagi orang awam yang berumur 18 tahun ke atas. Fasa ini akan bermula daripada bulan Mei sehingga awal Februari tahun hadapan. kanak-kanak dan golongan wanita yang mengandung serta menyusukan bayi buat masa ini dikecualikan dari suntikan vaksin COVID-19 kerana tidak ada lagi data kajian klinikal dijalankan ke atas golongan tersebut. Namun penilaian dari masa ke semasa akan ditentukan oleh Jawatankuasa khas Jaminan Akses Vaksin Kebangsaan samada ianya boleh diberikan ataupun tidak. Ianya bergantung kepada dapatan-dapatan yang mungkin boleh diperolehi dari kajian demi kajian pada masa sekarang.

Sebarang maklumat yang berkaitan, diminta kepada masyarakat untuk merujuk kepada pihak-pihak yang berautoriti seperti Kementerian Kesihatan Malaysia, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Kebangsaan dan beberapa badan profesional untuk menyampaikan maklumat yang berkaitan. jangan sesekali merujuk kepada individu-individu ataupun kumpulan yang tidak pun terlibat dalam proses pengurusan COVID-19. Bahkan tidak pun terlibat di dalam proses kajian yang dijalankan..

Perlu diingatkan bahawa pemberian imunisasi Kebangsaan ini adalah satu sejarah dalam kehidupan kita. Jom kita jadikan diri ini salah satu daripada individu yang dicatat dalam sejarah Malaysia dan sejarah dunia.

Suhazeli Abdullah 

Pakar Perubatan Keluarga 

14.2.2021

Ulasan