Hormati Bidang Kuasa Negeri Dalam Hal Ehwal Agama Islam

 

Selalu orang sampaikan pandangan mereka pada saya, agar kami gubal sahaja undang-undang yang berkaitan dengan agama dan ‘paksa’ negeri untuk terima, tak perlu sampai nak runding-runding. 

Katanya, lebih mudah untuk Kerajaan Persekutuan, kerana kita tidak perlu berunding dengan negeri-negeri dan tidak timbul kemudiannya isu undang-undang yang berbeza antara setiap negeri.

Saya kata, tidak boleh begitu. Kerajaan Persekutuan perlu hormat bidang kuasa negeri sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. 

Kita perlu ingat bahawa, kuasa yang ada pada Kerajaan Persekutuan hari ini datang daripada kuasa yang diserahkan oleh Raja-raja Melayu ketika proses rundingan pembentukan Perlembagaan Persekutuan. 

Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu berjaya ditubuhkan hanya apabila semua pihak yang terlibat dalam rundingan bersetuju antaranya bahawa Islam adalah urusan negeri-negeri.

Oleh sebab itulah, Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 yang merupakan inti pati perjanjian antara Persekutuan dan negeri dalam hal berkaitan agama Islam perlu dipatuhi dan dihormati oleh semua pihak.

Hal ini termasuklah dalam perkara yang berkaitan dengan bidang kuasa Mahkamah Syariah. 

Pada masa yang sama, kerajaan Persekutuan juga mempunyai peranannya yang tersendiri dalam memperkasa kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan. 

Atas dasar inilah, kita akan terus mencari ruang untuk mengharmonikan peranan dan bidangkuasa antara Persekutuan dan Negeri dalam hal ehwal Islam.

Proses penyeragaman juga kita cuba usahakan melalui jalan yang dipersetujui kedua-dua pihak, dan sebenarnya banyak yang sudah kita capai dengan cara yang harmoni, alhamdulillah.

Jika ada kesempatan, mungkin saya boleh kongsikan mengenai kejayaan dan usaha berterusan yang kita telah lakukan dalam mengurangkan ketidakseragaman undang-undang Syariah.

Jemput sertai channel telegram Marzuk Shaary https://t.me/marzukshaary untuk terus mengikuti perkongsian saya dalam isu-isu hal ehwal agama di Malaysia.

Ulasan