........ NAMUN SELAJU ANGIN UNTUK MERUNTUHKAN PEMUAFAKATAN.
Oleh : Dr Riduan Mohamad Nor.
Seharian dunia medsos menggelegak dengan amukan terhadap Ketua Pemuda UMNO dan Presiden UMNO apabila memberikan lampu hijau terhadap keinginan UMNO Terengganu untuk berkuasa kembali di Wisma Darul Iman.
Program dalaman itu khabarnya sebagai pemanasan badan jentera Pemuda UMNO Terengganu untuk berhadapan dengan PRU 15. Muntahan kata-kata kedua orang pemimpin UMNO itu mengundang kecaman serta menunjukkan warna sebenar kedua pemimpin UMNO , seorang pemimpin tertinggi yang menghadapi pertuduhan di mahkamah.UMNO Terengganu melalui Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu tanpa segan silu telah mengistiharkan untuk melawan PAS dalam PRU ke 15 , mengenepikan semangat pemuafakatan yang dimeterai pada 14 September 2019 di PWTC. Terengganu sejak zaman berzaman menjadi tempur adu kuasa PAS dan UMNO, Terengganu juga menjadi saksi mata tegangnya hubungan diantara kedua belah penyokong parti. 14 September 2019 adalah rakaman sejarah bagaimana kedua belah pihak berdamai demi menjaga keutuhan ummat agar tidak mengulangi kesilapan 9 Mei 2018.
" Jong pecah,maka Yu akan kenyang" adalah perumpamaan tepat orang tua dahulu berkias, pengalaman pahit 22 bulan dibawah kerajaan PH sepatutnya menjadi pengajaran selamanya kepada segelintir pemimpin UMNO namun ruang iktibar telah diabaikan. Mandraguna kuasa tetap nombor wahid dalam tempurung kepala pemain politik tanpa peduli akan rintihan rakyat bahkan " menunggang" istilah demi akar umbi parti.
Mengapa cepat segelintir pemimpin UMNO lupa diri dan terpanar dengan kemenangan demi kemenangan dalam PRK?, lupakah tragedi hilang kuasa pada 9 Mei 2018?. Dua tahun tujuh bulan yang lalu, musuh politik PAS dan UMNO seperti sawan dan terpanar, tak sepi mereka menilai dengan mata lalat dan menghujam dengan penuh nafsu apabila Muafakat Nasional ditubuhkan. Avatar siber seperti RBA meratib siang dan malam agar kesepakatan dua buah parti umat Islam ini gagal untuk bertaut, namun pendokong PAS dan UMNO telah bertekad untuk berdamai dan saling memaafkan. Mutakhir ini ada pemain politik tua daripada hujung negeri Kelantan yang cuba merobek kembali sejarah silam PAS-Umno, tekadnya agar MN berkubur agar PAS dan Umno tercerai berai lagi setelah bersatu.
Sebelum ini jika kita sedar, kebanyakan komen-komen adalah daripada daripada pemimpin PH ialah bagaimana PAS menjadi singkat ingatan terhadap kezaliman UMNO terhadap PAS selama ini, tragedi Memali, royalti minyak terhadap kerajaan PAS, pengucilan terhadap kerajaan Kelantan, dan lain-lain. Usaha menimbulkan keraguan kepada pemuafakatan ummah juga membandingkan dua orientasi berbeda bagi dua parti yang selama hampir tujuh dekad bertarung di pentas demokrasi. Malang pula kini bila tahap Presiden UMNO, Ketua Pemuda UMNO serta Pengerusi Umno Terengganu memercik api permusuhan dalam suasana ummat yang telah melupakan sengketa. Serang menyerang didunia siber dikalangan ahli perlu didamaikan oleh pimpinan sepatutnya, pemimpin sifat menyatu bukannya memecahkan!.
Jika dua tahun tujuh bulan dahulu, yang paling takut ialah pemimpin DAP yang cuba mengambarkan pemuafakatan ini akan menyebarkan rasa permusuhan antara kaum dan menyuburkan polarisasi kaum. Ketakutan DAP dengan pantas disambung oleh parti PAN, perkakas politik mereka yang paling setia. Lihatlah kegelabahan mereka seolah langit akan menghempap negara ini dan terbakar menjadi padang jarak padang tekukur. Naratif yang dibawa oleh pemimpin PH bahawa PAS akan kembali disakiti apabila BN kembali berkuasa di peringkat nasional sebagaimana PAS ditendang oleh BN pada tahun 1977 dalam krisis Kelantan. Jangan membenarkan naratif ini wahai pemain politik pragmatis kerana mahalnya harga sebuah perpaduan umat.
Presiden UMNO ,Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia serta Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu wajib memahami bahawa dalam politik, semua pertimbangan risiko perlu diambil kira dan memahami latar sejarah, unjuran strategik namun jika sejarah silam ssesebuah parti politik diambil kira, maka tidak akan berlaku apa-apa pemuafakatan, pakatan strategik atau kerjasama berdasarkan realiti semasa. Jika pertandingan banyak penjuru berlangsung dalam PRU 15 maka jangan ditangisi lagi jika kelompok minoriti kaum akan menentukan halatuju negara ini sebagaimana pernah berlaku selama 22 bulan . Buang jauh-jauh sikap ingin menjadi dominan dan abang Long apabila berpakat dan berkoalisi.
Pemuafakatan Melayu Islam dalam tempoh dua tahun tujuh bulan ini, bukan sahaja dapat meneguhkan kuasa politik Islam Melayu negara ini, namun menjalin hubungan dengan kaum-kaum lain bagi memastikan negara ini di landasan yang betul. Rakyat yang gelisah dan marah dengan reputasi pemerintahan PH dalam tempoh 22 bulan , bercakaran sesama sendiri, penjualan aset negara, hubungan kaum yang mula tidak harmoni kerana sikap etnosentrism sebahagian pemimpin PH terutama daripada DAP, penggangguran semakin menjolok mata, polisi-polisi pra matang para Menteri, kontrak sosial yang mula didobrak pasca 9 Mei 2018.
Presiden PAS paling bertegas akan kewajiban memelihara pemuafakatan ummah, nada dan tindakannya konsisten walau diseranah,dicemuh serta dinista tanpa belas kasihan oleh pembenci, Ayah Chik sebagai murabbi ummat sedar dan melihat tanah watan ini perlu diselamatkan sebelum dihancurkan oleh politikus jalanan yang mendapat kuasa dalam PRU 14. Pemuafakatan politik ini juga diterima dalam ruang demokrasi, sehingga menyaksikan kemenangan demi kemenangan dalam siri-siri Pilihanraya Kecil . Kesepakatan ini juga telah menumbangkan kerajaan PH yang hanya sempat dipuncak kuasa selama 22 bulan. Pakatan Harapan tumbang di Johor, Kedah, Perak dan Melaka serta bergegar pentadbiran negeri Sabah.
Rakyat tidak bodoh dan pandai menilai, jujurlah dalam bersahabat . Jangan kerana ingin melepaskan tengkok daripada masalah maka kesepakatan ummah dirobek . Parti berbasis Bumiputera seperti cendawan tumbuhselepas hujan, manakala bukan bumiputera hanya satu suara disepakati,maka hujung jatuhnya kita semua tahu implikasinya pada tanah leluhur ini.
Akhirnya buat Ketua Pemuda UMNO yang masih mentah dalam sepak terajang politik , Koalisi dan pemuafakatan politik Melayu Islam ini wajib diperteguhkan , bukan dicari jalan untuk dipecahkan demi ambisi kuasa . Jika pimpinan dan ahli -ahli PAS boleh menahan sabar dan melupakan api dendam akibat sakitnya disakiti selama puluhan tahun,mengapa tidak kalian juga menahan empangan kesabaran agar tidak membadai memecahkan kesatuan. Kami di Terengganu melakukan yang terbaik agar ukhuwwah mengantikan 'adawah, melupakan tragedi Masjid RTB Bujal , Perobohan Maahad Berakan, intimidasi dan segala tekanan kepada ahli kami sepanjang UMNO Terengganu berkuasa dahulu. Bersabarlah!
(Penulis ialah AJK PAS Pusat, AJK PAS Terengganu )
Ulasan