Kolej Ganti KUSZA Mula Sesi Pengajian Bulan Jun


Oleh : Nooreni Abu Bakar 

DUNGUN - Kerajaan PAS Terengganu mengotakan janjinya apabila Intitusi Pengajian Tinggi, ganti Kolej Universiti Sultan Zainal Abidin (KUSZA) dijangka memulakan sesi pengajian pada Jun nanti. 

Menurut Timbalan Pesuruhjaya III PAS Terengganu, YBUstaz Saiful Bahri Mamat,  ia adalah salah satu manifesto  pada Pilihan Raya Umum ke -14 (PRU14). 

Beliau berkata, Kolej Al-Quran Terengganu (KQT) dinaik taraf menjadi Kolej Universiti, bagi merealisasikan hasrat rakyat. 

"Memandangkan KQT  yang merupakan 'feeder' tidak dapat menampung pelajar yang ramai, Kompleks Kastam Pengkalan Gawi yang terbiar sejak 2015 akan dimanfaatkan sebagai kampus sementara Kolej Al-Quran Terengganu (KQT)," jelas beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan Dan Pengajian Tinggi Negeri Terengganu. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Dungun 2021 yang berlangsung di Dewan Jabatan Kerja Raya(JKR) dekat sini semalam.  


Katanya, KQT telah menjalankan kerjasama dengan Universiti Sultan Mizan Zainal Abidin (UniSZA) untuk memulakan program Ijazah Sarjana Muda, bermula September ini. 

"Dua lagi pengajian diploma telah diluluskan Daftar Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Register, MQR) menjadikan sekarang ada empat diploma," jelasnya. 

Oleh itu, beliau berharap sesi pengajian akan dapat dimulakan pada bulan Jun atau selewat-lewatnya pada  September tahun ini. 

Sementara itu, kata beliau, kerja-kerja persediaan peringkat akhir, pembangunan kampus utama atas tapak tanah seluas hampir 300 ekar, terletak di Kampung Durian Mentangau, sedang digerakkan. 

"Kita menyasarkan kerja-kerja pembinaan kampus pada  bulan Julai dan pelancarannya akan dibuat pada bulan Ogos, insya-Allah," katanya lagi.

Ulasan