PAS Ambil Berat Kebajikan Dan Keselamatan Bukan Islam


 KUALA TERENGGANU - Kerajaan PAS Terengganu mengambil berat kebajikan dan keselamatan semua golongan termasuk dalam kalangan masyarakat bukan Islam.

Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Kawasan Kuala Terengganu, Jefri Chua berkata, menjaga keperluan rakyat  tanpa mengenal warna kulit dan parti adalah menjadi satu kewajipan.

"Dengan apa yang kita lakukan ini, mereka suka serta gembira, kerana dalam kerajaan PAS ini ada wakil mereka untuk dijadikan sebagai tempat  mengadu juga menceritakan apa jua masalah dihadapi. 

"kita buat ini dengan ikhlas bukan mengharapkan apa-apa balasan mahupun jawatan, yang kita buat adalah bagi menaikkan imej PAS itu sendiri," ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika menyampaikan agihan makan percuma di Perkarangan Pasar Pagi Kampung Tiong dan kampung Cina oleh Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Haji Ahmad Amzad Hashim, pada Sabtu 13 Mac.

Mengulas mengenai program berkenaan, katanya itu di antara usaha yang dilakukan sebelum pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lagi. 

"Usaha dilakukan ini bagi memastikan masyarakat Cina di sini dapat menerima PAS yang sangat mementingkan perpaduan yang harmoni," ujarnya.

Katanya, beliau yakin peningkatan pengundi Cina terhadap PAS boleh berlaku jika program kebajikan kepada rakyat diteruskan. 

"Itu haruslah, dengan usaha yang kita lakukan selama ini. 

"Ini telah menarik perhatian kalangan mereka terutama yang terdiri dari kalangan kategori B40.  Jika dari setiap keluarga (Cina) ada seorang beri undi pada PAS, dah dapat capai 20 peratus," ujarnya.

Hadir sama pada majlis itu, Pegawai Khas Ahli parlimen Kuala Terengganu, Syed Ali Al-Idrus dan Setiausaha JPKK Kampung Tiong  dan Kampung Cina, Mr Wong Foot Yoke.

Ulasan